Tuesday, August 05, 2008

Isu Palestin dan Tanggungjawab Akidah

Oleh: Imran bin Selamat al-Malizi
(Perwakilan International Al-Quds Institute di Malaysia)
Emel: imran_almalizi@yahoo.com

Umat Islam diikat dengan ikrar dua kalimah syahadah. Mereka telah pun memeterai satu akuan sumpah yang menuntut seluruh umat Islam yang sama-sama mengucapkan dua kalimah syahadah agar berada dalam satu keterikatan yang mengikat mereka saling bergandingan dan memikul tanggungjawab ketika saudara-saudara Islam ditimpa musibah dan ancaman terhadap nyawa, harta-benda dan maruah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, dan mereka mengerjakan solat serta memberi zakat. Maka sekiranya mereka melakukan perkara itu, terpeliharalah darah (nyawa) mereka dan harta benda mereka daripadaku kecuali dengan hak Islam. Dan perhitungan mereka adalah atas ketentuan Allah." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).
Umat Islam di Palestin adalah saudara-saudara kita yang mengucapkan dua kalimah syahadah. Semenjak penubuhan negara Israel pada tahun 1948 dengan kemasukan pendatang Yahudi ke bumi Palestin telah menyebabkan sebahagian besar penduduknya menjadi pelarian. Akibat daripada 'pengusiran' ini, angka pelarian sehingga kini telah mencecah lebih 9.5 juta orang. Sementara kematian dan pembunuhan pula masih berlaku hari demi hari. Apakah peranan kita dalam menjalankan tanggungjawab dua kalimah syahadah ini?
Mengimbas perkembangan semenjak awal tahun ini, kita telah menyaksikan sekatan regim Israel terhadap Gaza sehingga menyebabkan wilayah yang mempunyai 1.5 juta penduduk itu terputus hubungan dengan dunia luar selepas semua pintu masuk di sempadan wilayah itu ditutup bermula hari Jumaat, 18 Jan 2008. Semua bahan-bahan mentah, makanan, ubat-ubatan dan apa sahaja telah disekat. Kita juga masih ingat pada 21 Januari, tepat pada jam 8 malam, satu-satunya loji janakuasa tunggal di Gaza terpaksa ditutup kerana keputusan bahan bakar menyebabkan seluruh bandar Gaza bergelap. Beberapa hospital terpaksa menghadapi ancaman kematian para pesakit terutamanya kanak-kanak dan orang-orang tua yang bergantung pada alat-alat bantuan. Sehingga pertengahan bulan Mei lalu, lebih 150 orang telah mati kerana kelaparan dan ketiadaan ubat-ubatan.
Pergerakan HAMAS menyifatkan itu sebagai 'hukuman mati' ke atas penduduk Gaza sebagai balasan kerana mereka memilih pergerakan HAMAS memegang tampuk kerajaan. Ini bagi memberi tekanan supaya kerajaan HAMAS meletakkan kuasa pemerintahan. Namun penduduk Gaza dan rakyat Palestin tetap mendokong pendirian HAMAS yang berikrar akan terus menentang penjajahan dan tidak akan mengiktiraf negara Israel. Akhbar rasmi HAMAS, Shout Filistheen bertarikh 21 Jamadil Awal 1429H melaporkan bahawa Ketua Jabatan Politik HAMAS, Khaled Mesy'al telah menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak akan tunduk berhadapan dengan tekanan ke atas Gaza, sekatan makanan yang menyebabkan kebuluran, pembunuhan dan permusuhan regim Israel. Kerana bangsa Palestin berpegang teguh dengan hak-hak mereka. Sebarang usaha perundingan dengan Amerika dan Israel akan membawa kerugian. Beliau juga menyatakan bahawa bangsa Palestin tidak sekali kali akan menerima penyamarataan hak bagi menggadaikan tanah air, kota suci al-Quds, para pelarian Palestin dan prinsip-prinsip Palestin. Sebarang usaha menggadaikan prinsip-prinsip ini bagi memenuhi kehendak Amerika dan Israel akan menemui kegagalan. Katanya lagi: "HAMAS dengan kekuatan penentangan rakyat Palestin akan menghapuskan sekatan terhadap Gaza. Sekiranya masyarakat antarabangsa tidak berbuat apa-apa, maka kami akan melakukannya mengikut kehendak kami," tegasnya.
Apakah umat Islam sudah menjalankan tanggungjawab mereka? Mesir yang berjiran juga dilihat gagal memainkan peranan dalam isu ini. Perdana Menteri Palestin, Ismail Haneyya telah menyeru kerajaan Mesir supaya mempercepatkan pembukaan laluan Rafah secara rasmi. Semenjak awal krisis ini, al-Jazeera turut melaporkan berlakunya 'pencerobohan' di sempadan yang menyaksikan penduduk Gaza yang terdesak dan kecewa terpaksa melakukan 'tindakan berani' untuk mendapatkan makanan dan bahan api di sempadan Mesir. Apakah yang lebih penting bagi pemerintah Mesir, nilai persaudaraan Islam atau hubungan diplomatik dengan negara haram Israel? Tentang sikap para pemimpin Arab dan umat Islam yang bermuka-muka, berjabat mesra dengan Presiden AS, rukuk serta sujud kepada polisi luarnya, saya ingin menyebut apa yang pernah dinyatakan oleh Syeikh Dr. Muhammed Mahmoud Seyam, mantan Imam dan Khatib Masjid al-Aqsa. Kata beliau: "Saya tidak menganggap mereka itu sebagai sebahagian dari tubuh umat (Islam). Kerana Allah S.W.T telah menegaskan di dalam al-Quran; "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi teman-teman rapat(mu); sebahagian mereka adalah pelindung bagi sebahagian yang lain. Sesiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pelindung (teman rapat), Maka Sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim." (Surah al-Maidah: 51) Jadi mereka (pemimpin-pemimpin) itu termasuk dalam golongan musuh-musuh dan bukan sebahagian daripada umat ini.
Dalam segala kesengsaraan yang dilalui oleh rakyat Palestin ini, pimpinan HAMAS telah menunjukkan nilai persaudaraan yang sangat tinggi. Pada bulan lalu, apabila Presiden Sudan, Omar al-Bashir diancam oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk mengeluarkan waran tangkap terhadapnya berhubung dengan pembunuhan kaum dan jenayah kemanusiaan di wilayah Darfur. Tidak syak lagi, ini satu lagi drama terbitan Rumah Putih. Lalu Khaled Mesy'al mewakili HAMAS dan rakyat Palestin telah memberikan sokongan melalui talian telefon, beliau berkata kepada Presiden Sudan, dengan menjanjikan bahawa HAMAS bersama dengan pemimpin dan rakyat Sudan. Inilah nilai akidah yang tidak dapat dimanipulasikan oleh AS dan Israel. Mereka hanya mampu memperdayakan orang-orang munafik yang memakai topeng Islam. Dalam memahami nilai persaudaraan ini, kita perhatikan sabda Rasulullah s.a.w: "Jadilah kamu semua sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim (yang lain). Janganlah dia menzaliminya, dan janganlah mengabaikan dia apabila dia memerlukan pertolongan, dan janganlah memperkecilkannya.." (Hadis riwayat Imam Muslim)
Pada hari ini, umat Islam khususnya bagi negara-negara yang bersempadan telah bersikap zalim terhadap rakyat Palestin apabila mereka memerlukan pembelaan. Malah terdapat golongan dalam masyarakat muslimin yang memperlekeh perjuangan rakyat Palestin dengan mengejek; 'setakat baling batu apa yang dapat?'. Kesemua ini menunjukkan bahawa kita telah jauh dari petunjuk Nabi s.a.w. Marilah kita renungkan sabda Rasulullah s.a.w: "Peumpamaan orang-orang yang beriman itu pada kasih-sayang, rasa belas dan ikatan sesama mereka adalah umpama satu jasad, sekiranya satu anggota jasad merasai kesakitan maka yang seluruh jasad juga akan turut merasai sakit." (Hadis riwayat Imam Muslim)
Adakah kita merasaikan kepedihan dan kesengsaraan rakyat Palestin, Iraq, Afghanistan, Sudan, Kashmir, Somalia, Chehnya, Selatan Thailand, Filipina dan seluruh dunia Islam? Sekiranya masih tidak merasai, maka sekarang adalah masa untuk muhasabah iman dalam diri. Sekiranya kita merasai, maka sekarang juga adalah masa untuk menadah tangan kepada Ilahi… "Ya Allah! Bantulah Islam dan kaum muslimin, bantulah mereka menghadapi musuh-musuh di mana sahaja mereka berada." Amin.

Friday, August 24, 2007

Beribadat Dengan Keikhlasan

Soalan: Adakah beribadat kepada ALLAH memerlukan keikhlasan?

Jawapan: Ya, kita diperintahkan agar melakukan segala amalan ibadat dengan penuh keikhlasan kepada ALLAH.

Dalil daripada al-Quran al-Karim:
Firman ALLAH S.W.T:
وَمَا أُمِرُوا إِلاَّ لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
Maksudnya: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah ALLAH dengan mengikhlaskan agama (ibadat) bagi-NYA, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar." –Surah al-Bayyinah: 5

Tafsiran ayat:
Ayat ini menjelaskan bahawa golongan ahli kitab iaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani telah diperintahkan supaya menyembah ALLAH S.W.T semata-mata dengan mengikhlaskan ibadat kepada-NYA.
"Pada hal mereka tidak diperintahkan..": maknanya, tidaklah diperintahkan kepada orang-orang yang engkar (iaitu golongan ahli kitab) di dalam kitab Taurat dan Injil, "melainkan supaya (mereka) menyembah ALLAH," iaitu agar mereka mentauhidkan ALLAH, "..dengan mengikhlaskan agama bagi-NYA," iaitu dengan ibadat. Berkenaan itu, firman ALLAH Ta'ala (melalui ayat yang lain):
Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah ALLAH dengan mengikhlaskan agama (segala ibadat) kepada-NYA;"
-Surah al-Zumar: 11

Ini adalah dalil yang menunjukkan kewajipan niat dalam ibadat. Sesungguhnya ikhlas adalah daripada amalan hati, yang mana dengannya diharapkan keredhaan ALLAH Ta'ala; bukan selain-NYA.

[Rujuk: Tafsir al-Qurthubi, Al-Jami'ul-Ahkam al-Quran, Imam Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Qurthubi, terbitan Darul-Hadith–Kaherah (cet. 1423H-2002M), jil. 10, hal.379]

Dalil daripada Hadis:
Menurut Umar bin al-Khattab r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ (أَوْ بِالنِّيَّةِ) وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مََّا نَوَى - متفق عليه
Mafhumnya: "Hanyalah segala amalan itu dengan niat dan hanya bagi setiap orang itu apa yang ia niatkan.." -Sahih al-Bukhari (hadis no.1) dan Sahih Muslim (hadis no.1907)

Pengajaran:
Kewajipan niat yang ikhlas itu bukan sahaja kepada golongan ahli kitab yang terdiri daripada kalangan Yahudi dan Nasrani, bahkan juga diwajibkan kepada kita sebagai umat Islam. Ini kerana ALLAH S.W.T juga telah memerintahkannya kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk diikuti oleh umat baginda.
Dalam kehidupan seharian, sering kali kita terlalai serta tersasar tujuan kita dalam melakukan sesuatu perbuatan atau ibadat. Berkemungkinan amalan ibadat yang kita lakukan itu hanyalah sekadar menjadi adat kebiasaan atau dilakukan kerana malu kepada orang lain. Seakan-akan terputusnya hubungan ibadat tersebut dengan nilai kerohanian kita menghadap ALLAH S.W.T. Lebih buruk lagi jika terdapat unsur-unsur yang boleh membawa kepada kesyirikan seperti riya', iaitu dengan kita beribadat untuk diperlihatkan kepada orang lain supaya mendapatkan pujian. Kesemuanya ini menyebabkan amalan tersebut tidak diterima oleh ALLAH S.W.T.
Maka hendaklah kita sama-sama memastikan agar segala amal ibadat yang kita lakukan perlulah diikhlaskan hanya semata-mata kerana ALLAH S.W.T demi untuk mendapatkan keredhaan-NYA.

Friday, August 17, 2007

Tujuan Manusia Diciptakan

Soalan: Mengapakah kita diciptakan oleh ALLAH?

Jawapan: Kita telah diciptakan oleh ALLAH S.W.T supaya menyembah-NYA dan tidak mensyirikkan-NYA dengan sesuatu apa pun.

Dalil daripada al-Quran al-Karim:
Firman ALLAH S.W.T:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." -Surah az-Zariyat: 56

Tafsiran ayat:
Para ulama tafsir berbeza pendapat mengenai makna ayat di atas:
1- Sebahagiannya mengatakan; maknanya ialah:
Aku (ALLAH S.W.T) telah menciptakan golongan yang berbahagia dari kalangan jin dan manusia untuk beribadat kepada-Ku dan Aku telah menciptakan golongan yang celaka dari kalangan mereka untuk melakukan maksiat (menderhaka) kepada-Ku.

Zaid bin Aslam telah berkata mengenai ayat ini: Ia adalah apa yang mereka dijadikan ke atasnya daripada kecelakaan dan kebahagiaan. Sufyan al-Tsauri pula telah berpendapat mengenai ayat ini: Sesiapa yang diciptakan dari kalangan mereka (jin dan manusia) adalah untuk tujuan ibadah.

2- Sebahagian yang lain pula mengatakan; maknanya ialah:
'Aku (ALLAH S.W.T) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menurut perintah-Ku dengan 'ubudiyyah (pengabdian).'

Ibnu 'Abbas r.a telah berkata (tentang ayat al-Quran):
"..melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."
Bermakna: 'melainkan supaya mereka tetap dengan pengabdian dalam keadaan rela atau terpaksa.'

Pendapat yang lebih kuat ialah pendapat yang kedua. Maka makna ayat ini ialah: 'Dan tidaklah ALLAH menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri kepada-Nya; (iaitu) tunduk merendahkan diri dan patuh kepada perintah-Nya.'

[Rujuk: Tafsir al-Thobari, Jami'ul-Bayan 'an Tawil Ayil-Quran, Imam Abu Ja'far Muhammad bin Jarir al-Thobari, diselenggarakan oleh Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi, terbitan Darul-Qalam dan Darul-Syamiyyah (1418H-1997M), cetakan pertama, jil.7, hal.95-96]

Dalil daripada hadis:
Menurut Mu'az bin Jabal r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

فَإِنَّ حَقَّ اللَّهِ عَلَى الْعِبَادِ أَنْ يَعْبُدُوهُ وَلا يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا - متفق عليه
Mafhumnya: "Maka sesungguhnya hak ALLAH ke atas hamba-hamba bahawa mereka menyembah-NYA dan tidak mensyirikkan-NYA dengan sesuatu apa pun.."
-Hadis riwayat al-Bukhari (Kitab al-Jihad wa al-Sair, hadis no.2644) dan Muslim (Kitab al-Iman, hadis no.48 & 49)

Pengajaran:
Berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis ini, kita dapat mengetahui bahawa tujuan manusia diciptakan adalah untuk mengabdikan diri dan beribadat kepada ALLAH Ta'ala dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun. Sesiapa yang berbuat selain daripada itu, maka dia telah pun menyeleweng daripada fitrah kejadiannya dan tergelincir daripada landasan kehidupannya di atas dunia ini.

والله تعالى أعلم بالصواب

Saturday, June 16, 2007

IKLAN BUKU SAYA

Ini iklan buku pertama saya yang telah berada di pasaran beberapa bulan yang lalu. Saya difahamkan buku ini pertama kali dijual ketika Pesta Buku Antarabangsa 2007. Itu pun menurut seorang sahabat bekas pelajar yaman yang berkunjung ke pesta buku tersebut, dia yang beritahu.
Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan buku ini, saya harapkan semoga mendapat manfaat daripada penulisan pertama saya yang serba kelemahan ini dan doakanlah semoga ALLAH S.W.T menerimanya sebagai amalan yang soleh dan memberikan keredhaan-Nya kepada saya serta keluarga. Amin.

Tajuk: MEMELIHARA SYAHADAH; Menghindari Diri Dari Kekufuran
Cet: Cetakan pertama 2007 No. daftar: ISBN 967-86-0284-9
Penerbit: Karya Bestari Sdn. Bhd. tel: 03-5101 3834
Pengedar: Alaf 21 Sdn. Bhd. tel: 03-5511 8820/21
Pencetak: Dasar Cetak (M) Sdn. Bhd. tel: 02-7788 3888

Ringkasan buku:
Dalam melakukan amal ibadah harian seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya kita akan sentiasa menjaga rukun-rukun serta syarat sah dan batalnya. Ini kerana, ia penting bagi memastikan amal ibadah kita diterima oleh ALLAH S.W.T. Namun, ramai umat Islam tidak menyedari bahawa mereka perlu menjaga keimanan dan syahadah masing-masing agar perbuatan, percakapan atau iktikad mereka sehari-hari tidak membawa kepada kekufuran.
Menurut para ulama muktabar, terdapat banyak perkara yang boleh membatalkan iman dan syahadah seseorang mukmin. Malangnya, masih ramai di kalangan muslimin yang tidak jelas mengenai perkara itu. Akibatnya, seseorang itu tidak sedar bahawa amalan solat, puasa, zakat dan hajinya terjejas kerana keimanannya telah terbatal.
Buku ini cuba mengupas mengenai permasalahan iman dan syahadah serta perkara-perkara yang membatalkannya. Malah, setiap kupasan disertakan dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadis. Mudah-mudahan buku ini menjadi benteng yang menjaga kita daripada kekufuran. Wal'iyazubillah.

Sunday, April 08, 2007

MANHAJ DAKWAH DAN TARBIAH













Kertas kerja ini telah dibentangkan oleh penulis pada 31 Mac 2007, sempena Persidangan Mahasiswa Islam Timur Tengah (PERMIT) 2007 yang dianjurkan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) bertempat di Dewan Abdullah Kamil, Universiti al-Azhar (Fakulti Perubatan Hayyu Sadis), Kaherah, Mesir.

Disediakan oleh:
Lajnah Tarbiah dan Akademik,
& Unit Penyelidikan dan Penterjemahan (UPP),
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA)


MUKADIMAH

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوْذُ بِالله مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئاَتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ أَمَّا بَعْدُ،

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada ALLAH dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." [1]
"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu."
[2]
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara), Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan."
[3]

Dalam kertas kerja pembentangan bertajuk 'Manhaj Dakwah dan Tarbiah' ini, kita akan membincangkan berkenaan manhaj Dakwah dan Tarbiah secara berasingan walaupun di antara kedua-duanya terdapat kaitan di antara satu sama lain. Sesungguhnya tajuk ini sangat luas untuk dibahaskan, melalui kertas kerja yang daif ini kita hanya akan membincangkan peranan dakwah dan tarbiah untuk melahirkan generasi yang beriman dan beramal soleh sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah saw mengikut manhaj rabbani yang disesuaikan dengan keperluan-keperluan semasa.

Matlamat Dakwah dan Tarbiah

Manhaj dakwah yang akan dibincangkan di sini merangkumi seruan beriman kepada ALLAH SWT dan bermatlamat melahirkan golongan mukminin. Manakala manhaj tarbiah pula adalah bermatlamat untuk melahirkan orang-orang yang beramal soleh. Ini kerana iman dan amal soleh adalah dua perkara yang disyaratkan di dalam al-Quran untuk kita mendapat kebaikan, rahmat, pengampunan serta kemenangan di dunia dan akhirat. Ayat-ayat al-Quran yang berkaitan begitu banyak. Bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, ALLAH akan mengurniakan kepada mereka:

1. Rahmat dan kasih sayang.
Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, Maka Tuhan mereka memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya. Itulah kemenangan yang nyata." (al-Jatsiyah:30)

(Maksudnya) "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, ALLAH yang Maha Pemurah akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang." (Maryam: 96)

2. Sejahtera dari kebimbangan dan dukacita
Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan solat serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita." (al-Baqarah:277)

3. Kebahagiaan
Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya." (ar-Ra'd: 29)

4. Pengampunan dan rezeki serta balasan yang baik
Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan beroleh keampunan dan rezeki yang mulia." (al-Hajj: 50)

(Maksudnya) "Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh sesungguhnya Kami akan hapuskan dari mereka kesalahan-kesalahan mereka, dan Kami akan membalas apa yang mereka telah kerjakan - dengan sebaik-baik balasan." (al-'Ankabut: 7)

5. Kekuasaan di atas muka bumi
Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "ALLAH telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahawa dia sungguh- sungguh akan menjadikan mereka berkuasa (khalifah) di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama (Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka, Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)…" (an-Nur : 55 )

6. Pahala yang tidak putus-putus
Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, mereka beroleh balasan pahala yang tidak putus-putus." (Fushilat: 8)

7. Mendapat kenikmatan syurga
Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;" (al-Baqarah: 25)

(Maksudnya) "Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.." (al-Nisa': 57)

(Maksudnya) "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk taat menunaikan ibadat kepada Tuhan mereka dengan khusyuk, mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya." (Hud: 23)

Sekiranya kita memerhatikan di dalam al-Quran, kita akan mendapati begitu banyak lagi ayat-ayat yang menyatakan janji-janji ALLAH kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh
[4]. Sekiranya umat Islam kehilangan kedua-dua sifat ini, maka mereka akan mendapat kehinaan di dunia dan kerugian akhirat. Maka matlamat daripada dakwah dan tarbiah untuk melahirkan umat yang beriman dan beramal soleh merupakan jalan keluar bagi masalah yang dihadapi oleh kaum muslimin.


MANHAJ DAKWAH

1. Takrif Manhaj

Takrif manhaj (minhaj) mengikut bahasa bermakna: jalan yang jelas terang
(الطريق الواضح)[5].
Firman ALLAH SWT:) Maksudnya) "…bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan yang terang.." (Al-Maidah: 48)

Manakala manhaj dari segi istilah bermakna: sejumlah peraturan dan perancangan yang mempunyai objektif untuk melakukan perubahan.
[6]

2. Takrif Dakwah

Makna dakwah dari segi bahasa:
دَعَا يَدْعُو دَعْوَةً داعٍ (الداعي) مَدْعُو
دعا إلى عقيدته: بشَّر بها < دعا إلى الإسلام >
[7]
Maka dakwah juga dengan makna (النداء) : Seruan atau panggilan.
Dalam bahasa Melayu juga dakwah bermaksud: kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan.
[8]

Dakwah yang kita maksudkan ialah: Dakwah kepada ALLAH, firman-Nya:
(Maksudnya) "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku menyeru kepada (agama) ALLAH dengan keterangan dan bukti yang jelas nyata," (Yusuf; 108)

Yang dimaksudkan dengan dakwah kepada ALLAH ialah seruan kepada agama Islam.
(Maksudnya) "Sesungguhnya agama (yang diredai) disisi ALLAH hanyalah Islam." (Ali 'Imran: 19)

(Iaitu) Agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW daripada Tuhannya SWT. Maka Islam adalah maudhu' (isi kandungan) dakwah dan hakikatnya, dan ianya adalah asas pertama bagi dakwah.
[9]

Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya Usul ad-Da'wah telah membahagikan dakwah itu kepada 3 asas atau unsur. Pertama: Maudhu' dakwah; iaitu Islam. Kedua: Da'ie (pendakwah). Ketiga: Mad'uu (golongan yang ditujukan dakwah). Walau bagaimana pun, melalui kertas kerja ini kita hanya akan membicarakan mengenai dakwah menyeru manusia agar beriman kepada ALLAH.
Kertas kerja yang daif ini cuba untuk mengemukakan secara ringkas satu manhaj dalam berdakwah. Iaitu dakwah menyeru manusia supaya beriman kepada ALLAH. Ianya bukanlah kata pemutus dalam setiap perkara yang diketengahkan cuma sekadar satu suluhan mudah-mudahan ia akan memberi manfaat kepada kita semua.

DAKWAH RASULULLAH SAW

Sesiapa yang melihat manhaj yang dilalui oleh Rasulullah SAW dalam perjalanan dakwah, dia akan melihat bahawa ia adalah manhaj rabbani daripada al-Quran dengan petunjuk-petunjuk yang bijaksana. Al-Quran telah diturunkan oleh ALLAH SWT iaitu Pencipta Yang Maha Mulia lagi Maha Mengetahui perkara yang baik untuk manusia dalam kehidupan dunia dan akhirat, dalam segala keadaan dan kehidupannya. Firman ALLAH SWT:
(Maksudnya) "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) ALLAH dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati ALLAH dengan banyak." (Al-Ahzab: 21)

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik untuk dijadikan ikutan oleh kita dalam segala aspek termasuklah manhaj baginda dalam menjalankan dakwah sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran dan sunnah. Ketika mana hilangnya manhaj al-Quran dan cara dakwah baginda SAW daripada pentas dakwah, ianya akan menjerumuskan para pendakwah ke dalam permasalahan yang begitu banyak, persengketaan, taksub yang dimurkai dan pertembungan yang ketara di kalangan mereka. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan ALLAH, Dengan yang demikian itulah ALLAH perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa." (al-An'am: 153)

Mereka yang memerhatikan ayat-ayat al-Quran dan sunnah akan mendapati bahawasanya al-Quran menerangkan dengan sejelas-jelasnya manhaj yang sepatutnya kita lalui dalam berdakwah ke jalan ALLAH SWT dengan ikutan yang baik أسوة حسنة dan menyampaikan dakwah dengan dalil dan bukti yang jelas dan nyata (السير عَلىَ بَصِيْرَةٍ). Ini merupakan manhaj dakwah yang telah dipraktikkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam dakwah baginda. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku menyeru kepada (agama) ALLAH dengan keterangan dan bukti yang jelas nyata, Maha Suci ALLAH, dan Aku bukan termasuk orang-orang yang musyrik". (Yusuf; 108)

Penyampaian dakwah dengan dalil dan bukti yang nyata adalah perintah ALLAH Ta'ala kepada semua pendakwah ke jalan-Nya. Ia tidak khusus kepada sekumpulan manusia tanpa melibatkan kelompok lain kerana dakwah Islam adalah global kepada seluruh manusia.
[10] Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).." (Saba': 28)

(Maksudnya) "Dan tiadalah Kami mengutus engkau, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam." (Al-Anbiya': 107)

Sabda Rasulullah SAW:
(وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ كَافَّةً)
Mafhumnya: ..."Seorang Nabi itu diutuskan kepada kaumnya secara khusus dan aku telah diutuskan kepada manusia keseluruhannya.." Hadis riwayat al-Bukhari
[11]

Janji ALLAH Kepada Golongan Mukminin

Sesungguhnya ALLAH SWT telah berjanji kepada golongan mukminin dengan janji-janji yang banyak di dunia ini, di antaranya:

1. Pertolongan menghadapi musuh-musuh mereka
Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "..dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman." (ar-Rum : 47)

2. Mempertahankan (membela) mereka
Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Sesungguhnya ALLAH membela orang-orang yang beriman; " (al-Hajj: 38)

3. Memberikan perlindungan kepada mereka
Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "ALLAH Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman.." (al-Baqarah: 257)

4. Hidayah bagi mereka
Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "..dan sesungguhnya ALLAH sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus". (al-Hajj: 54)

5. Tiada penguasaan orang-orang kafir ke atas mereka
Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "… dan ALLAH tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman." (Surah an-Nisa' : 141 )

6. Pengukuhan mereka dan kekuasaan di atas muka bumi
Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "ALLAH menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)…" (an-Nur : 55 )

7. Rezeki yang baik
Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi…" (al-A'raf : 96)

8. Kemuliaan
Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "… Padahal bagi ALLAH jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman." (al-Munafiqun : 8 )

9. Kehidupan yang baik
Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik;.. " (al-Nahl : 97 )

Ini adalah sebahagian daripada kemenangan di dunia bagi orang-orang yang beriman, dan inilah yang telah pun terbukti berlaku bagi golongan kita yang terdahulu (salaf) dari kalangan orang-orang yang beriman dan benar.
Sekiranya kita perhatikan keadaan umat Islam pada hari ini, apa yang dijanjikan ALLAH kepada orang-orang yang beriman di dunia tidak berlaku pada mereka. Ini menjadi bukti bahawa iman mereka lemah atau mereka kehilangan banyak sifat-sifat yang berkaitan dengan iman. Maka hilanglah apa yang dijanjikan oleh ALLAH dalam kehidupan mereka di dunia daripada pertolongan, pembelaan, perlindungan, hidayah, kekuasaan, pengukuhan, jaminan tidak berlaku penguasaan orang-orang kafir, rezeki yang baik, kemuliaan dan kehidupan yang baik. Sekiranya keadaan ini berterusan maka mereka akan mendapat kerugian daripada apa yang dijanjikan ALLAH di akhirat sebagaimana mereka telah rugi di dunia. Barangkali dirinya akan mendapat kerugian di neraka jahanam.
Oleh kerana itu, tiada cara lain melainkan mestilah memperkuatkan iman, mensabitkan dan memperbaharuinya dengan menyebarkan ilmu-ilmu berkaitan iman di kalangan kaum muslimin, melaksanakan hukum-hakam agama, para ulama perlu ke hadapan untuk menunaikan kewajipan ini, khususnya bagi mereka yang menyaksikan serangan-serangan anasir ateisme (menolak ketuhanan) terhadap kaum muslimin, derasnya gerakan kristianisasi, sebagaimana mereka menyaksikan tersebarnya perkara-perkara khurafat dan batil yang mana orang-orang yang mendokongnya menisbahkan perkara-perkara tersebut kepada agama.[12]

Dakwah Kepada Iman

Perkara yang mesti diutamakan oleh pendakwah ialah: beriman kepada ALLAH SWT dan mewujudkan keyakinan yang mendalam kepada ALLAH dan Rasul-Nya. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;" (Ali 'Imran: 193)

Mewujudkan keyakinan kepada ALLAH SWT dan Rasul Nya dengan dalil dan bukti yang nyata serta ilmu tanpa sebarang syak dan ragu-ragu yang akan mendorong manusia untuk melakukan pengorbanan dengan harta dan nyawa. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Sesungguhnya orang-orang yang beriman (dengan sebenar-benarnya) hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada ALLAH dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan ALLAH; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)." (al-Hujurat: 15)

Iman kepada ALLAH adalah yang pertama yang merupakan amalan yang paling afdal. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan kepada kamu sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada ALLAH dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama ALLAH dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." (As-Saff: 10-11)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم سُئِلَ أَيُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ فَقَالَ إِيمَانٌ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ قِيلَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قِيلَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ حَجٌّ مَبْرُورٌ.
Bahawasanya Rasulullah SAW telah ditanya : apakah amalan yang paling afdal? Baginda bersabda: "Iman kepada ALLAH dan rasul-Nya. Kemudian baginda ditanya lagi: Kemudian apakah selepas itu? Baginda bersabda: "Jihad di jalan ALLAH. Baginda ditanya lagi: kemudian apakah selepas itu? Baginda bersabda: "Haji mabrur." (Hadis riwayat al-Bukhari)
[13]

Iman kepada Rasulullah SAW adalah yang kedua. Ia adalah rukun kerana baginda merupakan utusan daripada ALLAH SWT. Maka baginda adalah asas dalam mewujudkan keyakinan terhadap kebenaran yang datang daripada ALLAH Azza wa Jalla.

Bagaimanakah Untuk Menanamkan Keimanan?

Sesiapa yang memerhatikan permulaan dakwah Rasulullah SAW dia akan mendapati bahawasanya baginda telah menanam keimanan dengan mukjizat hissiyyah
[14] dan penyaksian yang mencurahkan keyakinan dalam hati-hati mad'u (orang yang menerima dakwah). Setelah itu, manusia akan terbahagi kepada dua bahagian dalam menerima kebenaran. Satu bahagian beriman kepada ALLAH Ta'ala dan Rasul Nya dan keimanan mereka mantap dan teguh seperti gunung. Manakala satu bahagian lagi telah mengharamkan kebaikan ke atas diri mereka lalu menjadi sesat dan menyimpang.
Di antara rahmat ALLAH kepada kita, seruan dakwah kepada ALLAH SWT tidak terhad dalam keimanan kepada ALLAH melalui mukjizat zahir sahaja, bahkan ALLAH SWT telah menjadikan alam semesta keseluruhannya sebagai tanda-tanda yang menunjukkan tentang kewujudan-NYA.
Sesiapa yang memerhatikan pada diri, alam semesta, dia akan mendapati tanda-tanda hebat yang membuktikan kewujudan ALLAH SWT dan keagungan kuasa Nya.
[15] Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Dan pada bumi ada tanda-tanda (kekuasaan ALLAH) bagi orang-orang yang yakin. Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan? Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah dijanjikan kepada kamu." (Az-Zariyaat: 20-22)

Keutamaan Dakwah kepada Iman

Sesungguhnya kita telah pun mengetahui bahawa Rasulullah SAW dalam sirah baginda perkara yang mula-mula diserukan adalah iman. Ayat-ayat al-Quran yang turun di Makkah sebelum hijrah juga berkisar kepada keimanan dan akidah. Kerana sesudah manusia itu beriman kepada ALLAH dengan sebenar-benarnya mereka akan mudah juga menerima segala perintah dan larangan ALLAH SWT yang didatangkan melalui al-Quran dan sunnah.
ALLAH SWT menyatakan bahawa Rasul SAW yang telah diutuskan mendahulukan dakwah baginda dengan 'membacakan kepada mereka ayat-ayat ALLAH'. Firman-Nya: (Maksudnya) "Dia-lah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul dari kalangan mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka.." (al-Jum'ah:2)

Yang dimaksudkan dengan 'ayat-ayat ALLAH' ini tidak terhad kepada wahyu dalam bentuk ayat-ayat al-Quran semata-mata. Sebaliknya Rasulullah SAW juga membuktikan tanda-tanda kebesaran ALLAH melalui mukjizat risalah kenabian baginda. Kerana ALLAH SWT menjelaskan makna 'ayat-ayat-Nya' itu juga adalah tanda-tanda kebesaran dan kekuasaanNya. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Dan pada bumi ada tanda-tanda (kekuasaan ALLAH) bagi orang-orang yang yakin." (Az-Zariyaat: 20)
FirmanNya lagi: (Maksudnya) "Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Nabi Musa membawa ayat-ayat Kami dan bukti (mukjizat) yang jelas nyata." (Ghaffir: 23)

FirmanNya lagi: (Maksudnya) "Kami berfirman: "Turunlah kamu semuanya dari surga itu! Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, Maka barang siapa yang mengikuti petunjuk-Ku, niscaya tidak ada kekhawatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati". Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya." (al-Baqarah: 38-39)

Mukjizat al-Quran pada zaman Nabi SAW

Dalam suatu hadis:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ مَا مِنْ الأَنْبِيَاءِ مِنْ نَبِيٍّ إِلاًّ قَدْ أُعْطِيَ مِنْ الآيَاتِ مَا مِثْلُهُ آمَنَ عَلَيْهِ الْبَشَرُ وَإِنَّمَا كَانَ الَّذِي أُوتِيتُ وَحْيًا أَوْحَى اللَّهُ إِلَيَّ فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَكْثَرَهُمْ تَابِعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ.
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW: “Tiada seorang pun dari kalangan para nabi kecuali telah diberikan tanda-tanda yang tidak serupa untuk diimani oleh manusia. Dan yang diberikan kepadaku adalah wahyu yang ALLAH wahyukan kepadaku, maka aku berharap aku menjadi Nabi yang paling ramai pengikutnya di Hari Kiamat.”
(Hadis riwayat Imam Muslim).[16]

Kita telah ketahui daripada maksud hadis yang dinyatakan ini, bahawa mukjizat yang terbesar diberikan kepada Muhammad SAW adalah al-Quran. Rasulullah SAW telah menyatakan “..maka aku berharap aku menjadi Nabi yang paling ramai pengikutnya di Hari Kiamat” kerana wahyu yang diturunkan kepada baginda iaitu al-Quran tidak terikat dengan masa, tempat, kedudukan geografi, warna kulit dan bahasa sesuatu kaum itu. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).." (Saba: 28)

Tidak perlu bagi manusia itu merentasi batasan waktu untuk kembali semula ke zaman Rasulullah SAW untuk melihat mukjizat terbesar yang diberikan oleh ALLAH kepada baginda. Di zaman moden sekarang ini, al-Quran berada di tangan semua orang di semua tempat. Tetapi di manakah letaknya keajaiban al-Quran?
Kita telah difahamkan bahawa orang-orang Arab zaman jahiliah yang menerima kedatangan al-Quran sangat masyhur dengan kesusasteraan dan syair Arab. Mereka mengagungkan penyair-penyair sehinggakan penyair yang mempunyai syair yang terindah mendapat penghormatan dengan syair mereka digantungkan di Kaabah. Mereka mengagumi Al-Quran melalui apa yang mereka fahami dari kesusasteraan bahasa Arab.
Lalu, pada zaman dahulu al-Quran dihayati melalui gaya bahasanya, keindahan susunan ayatnya, alunannya yang berirama. Kesusasteraan Arab menjadi kunci untuk kita melihat mukjizat al-Quran secara langsung, sebagaimana bangsa Arab di zaman jahiliah menghayati Al-Quran lalu berkata Al-Walid ibn Al-Mughirah[17] : “Demi ALLAH tidak ada orang yang lebih tahu mengenai syair daripadaku, tidak yang panjangnya tidak yang pendeknya, dan tidak pula dengan syair-syair Jin. Demi ALLAH tidak serupa apa yang dikatakan olehnya [iaitu Muhammad] sesuatu pun daripada ini semua. Demi ALLAH sesungguhnya pada apa yang dikatakannya ada kemanisan, dan padanya ada kecantikan, dan ianya membuahkan hasil di atasnya, tenggelam teguh di bawahnya, dan sesungguhnya ia mengatasi dan tidak diatasi, dan ianya akan menghancurkan apa yang di bawahnya.”[18]

Bentuk-bentuk Mukjizat Al-Quran

Setelah kita melihat realiti ini, apakah boleh kita mengatakan kepada orang yang bertanyakan mengenai mukjizat Nabi Muhammad SAW: "Pergilah pelajari sastera Arab! Kemudian kamu boleh melihat mukjizat Muhammad?!
Walaupun kita telah nyatakan tadi bahawa ketika al-Quran diturunkan, perkara yang paling difahami oleh orang Arab adalah kesusasteraan bahasa Arab, dan keajaiban yang zahir ketika zaman penurunan Al-Quran adalah dari segi keindahan bahasa dan kesusasteraannya, kita tidak boleh menafikan wujudnya beberapa bentuk keajaiban yang lain di dalam al-Quran. Cuma bentuk-bentuk yang lain dari keajaiban al-Quran tidak terlalu menonjol kerana bangsa Arab ketika itu tidak memahaminya dan belum sampai waktu penzahiran mukjizat tersebut. Sebagaimana firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Al-Quran tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk seluruh alam. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mengetahui kebenaran perkara-perkara yang diterangkannya, tidak lama lagi." (Sad: 87-88)

Al-Quran diturunkan untuk semua bangsa dan sepanjang zaman. Oleh itu ALLAH telah mempelbagaikan Mukjizat yang terkandung di dalamnya, agar ia senantiasa menjadi bukti kebenaran Muhammad SAW. Sebahagian Ulama telah mengklasifikasikan mukjizat yang terkandung di dalam al-Quran kepada bahagian, dan di antara bentuk-bentuk tersebut adalah seperti berikut
[19]:

o الإعجاز البياني – Mukjizat Kesusasteraan
o الإعجاز الغيبي – Mukjizat Keghaiban
o الإعجاز التشريعي – Mukjizat Pensyariatan
o الإعجاز العلمي – Mukjizat Saintifik

Kita boleh mempergunakan salah satu dari tajuk-tajuk di atas sebagai pembuktian bagi kebenaran Islam dan kebenaran Muhammad SAW sebagai seorang Rasul yang diutuskan untuk seluruh alam, sepanjang zaman dan semua tempat.

Membuktikan Mukjizat al-Quran Dengan Penemuan Ilmu-ilmu Moden

Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar." (Fushilat: 53)

Salah satu cara yang berkesan untuk meyakinkan manusia berkenaan mukjizat al-Quran pada zaman moden ini ialah dengan membuktikan bahawa al-Quran dan sunnah telah mendahului ilmu sains moden. Sebagai bakal pendakwah, para penuntut ilmu agama perlu juga menguasai ilmu-ilmu ini yang mudah didapati dalam pelbagai bahasa. Dalam kertas kerja yang ringkas ini kami tidak akan mendatangkan contoh secara terperinci, para pembaca boleh merujuk buku-buku karangan Syeikh Abdul Majid az-Zindani
[20], Dr. Zaghlul an-Najjar[21], Dr. Zakir Abdul Karim Naik[22], Harun Yahya dan lain-lain.
Dalam ayat di atas ALLAH SWT mengisyaratkan: "Kami akan perlihatkan kepada mereka.." menunjukkan penemuan sains moden yang dipelopori oleh para saintis barat, membuktikan ALLAH telah memperlihatkan kepada 'mereka'. Perkaitan di antara sains moden dan mukjizat al-Quran boleh dikatakan mula muncul semenjak 1960-an. Cuma dipercayai orang yang pertama benar-benar membuat kajian yang terperinci mengenai perkara ini bukanlah orang Islam sendiri tetapi seorang pakar bedah Perancis yang bernama Maurice Bucaille.
Beliau yang pada asalnya bertujuan mahu menjadikan Islam sebaris (senasib) dengan agama-agama dunia yang lain yakni ditolak dan tidak lagi menjadi panduan hidup orang Islam sendiri. Beliau mengambil masa selama 10 tahun bagi mempelajari bahasa Arab dan seterusnya mengkaji al-Quran bagi mencari kelemahannya. Usaha beliau berakhir dengan beliau sendiri memperakui kebenaran Islam. Dr. Keith L. Moore
[23], seorang professor dalam bidang embriologi di Universiti Toronto, Kanada juga memperakui kebenaran al-Quran dalam menceritakan proses kejadian manusia semenjak daripada air mani sehinggalah menjadi janin. Beliau bersama dengan Prof. Marshal Johnson dan pakar-pakar embriologi yang lain telah bekerjasama dengan Syeikh Abdul Majid az-Zindani menghasilkan sebuah buku berjudul (علم الأجنة في ضوء القرآن الكريم); Ilmu Janin daripada Perspektif al-Quran al-Karim.
Melalui kaedah ini juga kita dapat melakukan dakwah dengan menyatakan bukti-bukti yang jelas dan nyata bahawa al-Quran adalah benar dan Nabi Muhammad adalah sebenar-benarnya utusan ALLAH SWT. Sebagaimana kita beriman dengan ayat-ayat al-Quran yang menzahirkan mukjizat-mukjizat tersebut, kita juga wajib beriman dengan perkara-perkara ghaib yang dinyatakan di dalam al-Quran seperti hari kiamat, mahsyar, timbangan amal baik buruk, sirat, syurga, neraka dan lain-lain. Maka kaedah i'jaz al-'Ilmi ini mampu menanamkan iman kepada perkara-perkara yang ghaib dengan bukti-bukti saintifik yang nyata.

MANHAJ TARBIAH

Tarbiah atau pendidikan bertolak daripada titik pemikiran dan peradaban sesuatu bangsa, berkisar pada bagaimana manusia melihat dan menilai kehidupan ini. Lalu ianya dicurahkan secara berperingkat-peringkat agar ia dapat diterima oleh individu atau perkumpulan yang lain sama ada dalam masyarakat itu sendiri atau kelompok yang luar.
Bagi dunia barat, 'pendidikan boleh diandaikan sebagai proses penyebaran nilai-nilai dan himpunan ilmu pengetahuan dalam sesuatu masyarakat'.. pendidikan telah memandu pemikiran manusia untuk mengenali budaya, membentuk tingkah laku mereka untuk menuju usia matang dan mengarahkan mereka menuju kepada peranan yang akan dimainkannya dalam masyarakat.
[24]
Secara ringkasnya, mana-mana masyarakat sekali pun memerlukan pendidikan sebagai satu proses pembinaan serta penerapan nilai-nilai untuk menjamin survival ideologi yang diterima pakai dalam masyarakat tersebut. Bagi masyarakat yang menganut fahaman komunisme atau sekularisme sebagai contoh, yang mana mereka percaya dan mendokong ideologi-ideologi itu pasti akan menerapkan nilai-nilai tersebut dalam pendidikan terhadap generasi mudanya. Begitulah juga bagi ideologi-ideologi lain yang berkembang dalam masyarakat dunia semenjak dahulu sehingga kini, sekiranya kita melihat sejarah perkembangan tamadun manusia.
Bagi manusia yang terpengaruh dengan keduniaan dan materialisme, pendidikan bagi mereka hanyalah terhad untuk memenuhi keperluan dan tuntutan tersebut. Akan tetapi bagi Islam matlamat pendidikan atau tarbiah jauh lebih luas untuk mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat. Demikianlah halnya dengan masyarakat Islam, apabila peradaban yang meliputi kehidupan dan mempengaruhi pemikiran mereka berpaksikan keimanan kepada ALLAH I dan peranan dirinya sebagai hamba kepada Penciptanya serta hubungkaitnya dengan kejadian alam ini, maka masyarakat Islam tersebut pasti akan memastikan iman itu terus subur dalam masyarakatnya generasi demi generasi melalui lapangan pendidikan atau tarbiah. Namun begitu, tarbiah juga menjadi suatu keperluan yang mendesak terutamanya apabila berlaku kerosakan serta terhapusnya nilai-nilai keagamaan dan moral dalam masyarakat.

Dalam pembentangan kertas kerja ini, kita akan membincangkan secara ringkas berkenaan tarbiah dari perspektif Islam atau Tarbiah Islamiah; iaitu pendidikan mengikut nilai-nilai Islam. Oleh kerana skop perbincangan ini terlalu luas, kita hanya akan menumpukan kepada pengenalan tarbiah bagi melahirkan golongan solihin sebagai kesinambungan dari tajuk yang lalu iaitu manhaj dakwah yang berperanan mewujudkan golongan mukminin. Kita telah pun menyebutkan tentang ikatan iman dan amal menjadi syarat mendapat kemenangan di dunia dan akhirat berdasarkan ayat-ayat al-Quran al-Karim.

Ta’arif Tarbiah

Perkataan tarbiah dalam bahasa Melayu bermakna: pendidikan, pengasuhan
[25]. 'Tarbiah' diambil daripada bahasa Arab (تربية) berasal daripada kalimah (رَبَّى):

رَبَّى يُرَبِّي تَرْبِيَةً مُرَبٍّ (المُرَبِّي) مُرَبًّي
رَبَّى الأب ابنه : هذّبه ونمى قوّاه الجسمية والعقلية والخلقية
[26]
Seorang ayah mentarbiah anak lelakinya (bermaksud): mendidik dan menambahkan kekuatannya jasmani, akal dan akhlak.

Sesungguhnya mafhum tarbiah (dalam bahasa Arab) berasal daripada fi'il mu'tad (فعل معتد), bermakna ia memerlukan fa'il (فاعل) dan maf'ul (مفعول). Kedua-duanya berada dalam hubungan yang tertentu iaitu pertambahan (التنمية) dan pengasuhan (التنشئة). Seorang pendidik itu (المُرَبِّي) dan orang yang dididik (المربَّى) kedua-dua sama-sama berkongsi suka duka dan perkara-perkara tertentu.
[27]

Di antara kefahaman tarbiah dari segi istilah ialah:

1- Sesungguhnya tarbiah itu adalah bersifat praktikal yang berkembang di mana insan membesar melaluinya semenjak kanak-kanak sehingga ia matang dalam keadaan dia terbentuk bersama matlamat persekitaran dan masyarakat.
2. Bahawa tarbiah itu adalah bersifat praktikal yang mempunyai tujuan-tujuan dan matlamat-matlamatnya, ia mengutamakan akal insan, kewujudannya, rohaninya, jasmaninya, nilainya, halatujunya dan segala kemahiran serta pemikiran yang terdapat pada dirinya.
3. Bahawa tarbiah itu memerlukan perancangan yang berperingkat yang mana berjalan di dalamnya kerja-io0lkerja pendidikan dan pengajaran menurut tertib yang tersusun serta secara langsung, ia berubah dari masa ke semasa dan peringkat demi peringkat bersama perkembangan seorang remaja.
[28]

Walau bagaimanapun, dalam sirah nabawiyyah kita mengetahui bahawa Rasulullah SAW menjalankan madrasah tarbiah baginda di kalangan para sahabat r.a.hum dan proses tarbiah ini berjalan tanpa mengira usia mereka. Dalam tarbiah Islamiah, seseorang individu itu akan terus merasai pendidikan sehingga ke akhir hayat.

Asas-asas Tarbiah Islamiah

Apabila seseorang insan itu telah menerima Islam dan beriman kepada ALLAH, maka dia perlu menyedari tugasnya sebagai hamba ALLAH dan tujuan dia diciptakan. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku." (az-Zariyat: 56)

Maka asas dalam tarbiah Islamiah adalah ketundukan dan kepatuhan seseorang hamba kepada Tuhannya yang dengan itu dia akan berusaha mendapatkan keredaan ALLAH dengan mengerjakan ibadat kepadaNya dan menjaga hubungan sesama makhluk-makhluk ALLAH.

Manhaj Tarbiah Mengikut Al-Quran

Apabila kita menyedari bahawa kerosakan yang berlaku dalam masyarakat Islam pada hari ini menyerupai ciri-ciri jahiliah yang terdahulu pada sebahagian bentuk-bentuknya, maka kaedah dan jalan untuk memperbaiki atau melakukan islah dalam masyarakat tersebut hendaklah melalui cara yang digunakan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran.

Sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW, Nabi Ibrahim AS telah berdoa kepada ALLAH SWT agar diutuskan kepada seorang Rasul kepada umat ini. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Wahai! TUHAN kami, utuslah untuk mereka sesorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Al-Baqarah: 129)

Melalui ayat di atas, Nabi Ibrahim AS berdoa kepada ALLAH agar Rasul yang akan diutuskan itu akan:
1. Membacakan kepada kaumnya ayat-ayat ALLAH.
2. Mengajarkan kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan al-Hikmah (as-Sunnah).
3. Mensucikan mereka.

Bagaimanapun ALLAH SWT memberikan jawapan kepada doa tersebut dengan firmanNya: (Maksudnya) "Samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan memsucikan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui." (al-Baqarah: 151)

(Maksudnya) "Dia-lah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul dari kalangan mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (As Sunnah). Dan Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata" (al-Jum'ah: 2)

Melalui ayat-ayat di atas, ALLAH menyatakan susunan yang perlu diikuti oleh Rasul yang diutuskan:
1. Membacakan kepada kaumnya ayat-ayat ALLAH.
2. Mensucikan mereka.
3. Mengajarkan kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan al-Hikmah (as-Sunnah).

Sebagai mengikut susunan tersebut, keutamaan perlu diberikan kepada peringkat yang pertama di atas iaitu membacakan kepada ayat-ayat ALLAH; menjelaskan kepada mereka tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan ALLAH sehingga mereka beriman. Ini merupakan peringkat pertama yang perlu dilalui dalam proses tarbiah dan ianya telah pun kita sentuh dalam bahagian pertama iaitu dalam manhaj dakwah.

Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Sesungguhnya ALLAH telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat ALLAH (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan ALLAH dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab ALLAH (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." (Ali 'Imran: 164)

Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Dan tiadalah Kami mengutus engkau, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam." (AL-Anbiya': 107)

ALLAH mengutuskan Rasul-Nya daripada kalangan kaum itu sendiri dengan itu ia mengetahui suasana dan keperluan untuk menjalankan seruan risalah dan melakukan tarbiah kepada kaumnya. Bagi menghadapi keperluan kaum dan bangsa yang berlainan, asas bagi melakukan islah dan mentarbiah umat ini perlulah mengikut garis panduan yang ditetapkan di dalam ayat-ayat al-Quran di atas. Rasulullah SAW diutuskan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam dan sebagai rasul yang terakhir bagi umat manusia. Maka manhaj yang digunakan oleh Rasulullah SAW adalah contoh tunggal untuk diikuti oleh seluruh umat yang mengikut seruan baginda dalam melakukan islah setelah umat tersebut berada dalam kesesatan dan kerosakan. ALLAH SWT menyatakan peringkat-peringkat tersebut secara tersusun.
Setelah kita meyakinkan manusia untuk beriman kepada ALLAH maka peringkat seterusnya ialah mendahulukan


(تزكية) penyucian sebelum mengajarkan al-Kitab (al-Quran) dan al-Hikmah (as-Sunnah) kerana kedua-dua sumber tersebut adalah suci dan tidak dapat diterima oleh seseorang hamba itu melainkan apabila hati dan iktikadnya suci.

Penyucian

Di dalam ayat di atas ALLAH SWT bahawa Rasul yang diutuskan itu akan 'mensucikan mereka' (ويزكيهم). Iaitu mensucikan dan membersihkan mereka daripada iktikad yang batil kepada iman yang sejahtera. Di antaranya adalah dengan mengislahkan hati. Kerana al-Quran dan sunnah adalah dua perkara yang suci dan tidak dapat seseorang itu untuk menerima kebenarannya melainkan dengan hati yang suci bersih jua.

Pembaikan Hati (إصلاح القلوب)

ALLAH SWT telah berfirman: (Maksudnya) "(Iaitu) Pada hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna, kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap ALLAH dengan hati yang bersih/selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)." (as-Syu'ara; 88-89)

Bumi yang subur untuk tanaman mempunyai sifat-sifat tertentu. Begitulah juga dengan hati seorang mukmin, juga memiliki sifat-sifat tertentu. Di antaranya:

1. Bersegera Menerima Kebenaran
Terhasil daripadanya pengetahuan tentang kebenaran dan mengikutinya. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu.” (az-Zumar: 17)

(Maksudnya) "Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya). Mereka Itulah orang-orang yang Telah diberi ALLAH petunjuk dan mereka Itulah orang-orang yang mempunyai akal.” (az-Zumar:18)
Adapun hati orang kafir yang berpenyakit, kamu melihatnya berpaling daripada kebenaran, lalu kekal dalam kejahilan tidak mendapat petunjuk kepadanya (kebenaran). Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) “Dan tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka (yang kafir) dari keterangan-keterangan Tuhan mereka, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).” (Al-An’am:4)

2. Cintakan Kebenaran dan Terbuka Hati Untuk Islam
Pemilik hati yang sejahtera mencintai kebenaran dan terbuka hatinya untuk mempelajari Islam, maka dia berhak dengan yang demikian mendapat petunjuk ALLAH. Ada pun pemilik hati yang berpenyakit, kamu melihatnya membenci kebenaran dan menjadi sempit dadanya untuk mendengar ajaran Islam. Ini akan mendedahkan dirinya kepada hukuman ALLAH dengan menyesatkannya. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) “Barangsiapa yang ALLAH menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, niscaya dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. dan barangsiapa yang dikehendaki ALLAH kesesatannya, niscaya ALLAH menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. begitulah ALLAH menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman.” (al-An’am:125)

Mengislahkan hati adalah ibadah dan ibadah adalah untuk mengislahkan hati.

3. Menerima Seruan Iman dan Sukakan Peningkatannya
Pemilik hati yang sejahtera menerima seruan kepada keimanan sebagaimana telah dinyatakan oleh ALLAH tentang perkataan pemilik hati yang sejahtera: (Maksudnya) “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti” (Ali 'Imran: 193)
Orang mukmin sentiasa menyukai peningkatan iman. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) “Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya).” (at-Taubah:124)

(Maksudnya) “Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.).” (at-Taubah:125)

Adapun pemilik hati yang berpenyakit, kamu melihatnya menghalang daripada jalan ALLAH. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) “Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan agama ALLAH, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya.” (Ibrahim:3)

Kamu melihat pemilik hati yang sejahtera sentiasa berfikir tentang diri mereka, penciptaan langit dan bumi, petunjuk yang datang kepada mereka daripada pencipta mereka yang menceritakan tentang tujuan daripada kehidupan dan kematian mereka, menyifatkan kepada mereka zaman lampau mereka dan akan datang, syurga yang disediakan oleh ALLAH kepada hamba-Nya yang beriman dan azab yang sedang menunggu orang kafir. Mereka memikirkan tentang mukjizat-mukjizat Rasulullah SAW, bukti-bukti kebenaran baginda, bagaimanakah mempraktikkan perkara yang telah diperintahkan supaya terbukti kepada mereka kebahagiaan dunia dan akhirat dan untuk menghindari azab neraka. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati ALLAH semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Ali-Imran:191)

Tetapi orang-orang kafir, mereka menjadikan pendengaran dan akal mereka tidak berfungsi daripada struktur yang telah diciptakan untuknya untuk berfikir. Mereka tidak menyedari kecuali pada hari penyesalan pada hari kiamat sebagaimana firman ALLAH SWT tentang mereka: (Maksudnya) “Dan mereka berkata: "Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka”.(al-Mulk:10)

4. Sedar dengan segera
Manusia sering lupa. Tetapi pemilik hati yang sejahtera sentiasa ingat, maka dia nampak dan tidak kabur. Firman ALLAH: (Maksudnya) “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran ALLAH) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).” (al-A’raaf:201)

Oleh sebab itu, ALLAH SWT telah mensyariatkan tazkirah (peringatan). Firman ALLAH: (Maksudnya) “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.” (az-Dzaariyat:55)
Firman ALLAH lagi: (Maksudnya) "Oleh sebab itu berikanlah peringatan Karena peringatan itu bermanfaat, Orang yang takut (kepada ALLAH) akan mendapat pelajaran, Dan orang-orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya. (yaitu) orang yang akan memasuki api yang besar (neraka). Kemudian dia tidak akan mati di dalamnya dan tidak (pula) hidup." (al-A’laa: 9-13)

Adapun pemilik hati yang berpenyakit, kamu melihat mereka berada dalam kelalaian tidak beriman. Firman ALLAH: (Maksudnya) “Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman.” (Maryam:39)

Jika kamu memperingatkan sesetengah orang yang lalai daripada akhirat, boleh jadi dia akan berkata kepada kamu: "Adakah kamu datang untuk mengajar aku tentang Islam?! Aku adalah seorang muslim yang lebih baik daripada kamu!"

5. Yakin
Kamu melihat pemilik hati yang sejahtera yang berfikir, belajar dan ingat telah sampai kepada keyakinan sebagaimana yang telah diterangkan oleh Tuhan kita dalam firman-Nya: (Maksudnya) “Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan ALLAH) bagi orang-orang yang beriman.” (al-Jaatsiyah:3)

(Maksudnya) “Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan ALLAH) bagi orang-orang yang meyakininya.” (al-Jaatsiah:4)

Adapun orang yang lalai yang berpaling, kamu melihatnya berada dalam keraguan dan syak. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) “(Mereka tidak meyakini kebenaran yang dijelaskan kepada mereka), bahkan mereka masih tenggelam dalam keraguan sambil bermain-main dengan perkara agama.” (ad-Dukhaan:9)

Mereka tidak mengetahui keyakinan kecuali sebagaimana firman ALLAH: (Maksudnya) “Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” (as-Sajdah:12)

6. Lembut Hati Untuk Mengingati ALLAH
Kamu melihat pemilik hati yang sejahtera lembut hati dan kulit mereka untuk mengingati ALLAH dan ayat-ayat-Nya. Manakala orang kafir, kamu melihat hati mereka keras. Firman ALLAH: (Maksudnya) “Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan ALLAH dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh ALLAH. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.” (az-Zumar:22)

(Maksudnya) “ALLAH telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat ALLAH. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk ALLAH; ALLAH memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan ALLAH (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya. ” (az-Zumar:23)

Kamu melihat pemilik hati yang keras ini, bersikap angkuh, keras kepala dan mengingkari tanda-tanda dan bukti-bukti. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) “Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.” (an-Naml:14)

Mereka yang angkuh akan dihukum sebagaimana firman ALLAH SWT: (Maksudnya) “Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.” (al-A’raaf:146)

Ini adalah balasan di dunia. Manakala pada hari kiamat, balasan mereka sebagaimana firman ALLAH SWT: (Maksudnya) “Dan (ingatlah), semasa orang-orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): "Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik.” (al-Ahqaaf:20)

7. Mengikut Al-Quran dan Sunnah
Kamu melihat, pemilik hati yang sejahtera, melazimi ketaatan terhadap Tuhan dan utusan Tuhannya lalu dia berjalan di dunia ini dalam segala urusan bersesuaian dengan kitab ALLAH dan sunnah Rasulullah SAW sebagaimana firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada ALLAH dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh ALLAH; sesungguhnya ALLAH Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (at-Taubah: 71)

(Maksudnya) "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah kamu kepada Rasulullah." (an-Nisa': 59)

(Maksudnya) "Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada ALLAH; sesungguhnya ALLAH amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)." (al-Hasyr: 7)

Demikian itu, kerana mentaati Rasulullah adalah mentaati ALLAH. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada ALLAH;" (an-Nisa': 79)

Adapun pemilik hati yang berpenyakit, kamu melihatnya mengikut syaitan-syaitan durjana, mengikut hawa nafsu dan memperhambakan diri kepada selain ALLAH, kemudian akan menyesal tetapi pada hari yang tiada bermanfaat penyesalan. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada ALLAH serta taat kepada Rasul ALLAH." (al-Ahzab: 66)

Apabila hati kita bersifat dengan sifat-sifat yang baik yang telah lalu, maka pada waktu itu, kita menjadi orang yang memiliki hati yang baik dan sejahtera yang sesuai untuk bercambah padanya pohon keimanan. Ia akan membesar dan membuahkan amalan-amalan yang baik. Tetapi, jika kita tidak mendapati dalam diri-diri kita amalan-amalan yang baik, maka yang demikian itu kembali kepada kedhaifan pohon keimanan yang telah tumbuh dalam hati kita yang masih belum sempurna sifat-sifat yang baik.
Jika kita tidak bersegera untuk membaiki perkara yang terdapat dalam hati kita, maka selama-lamanya keadaan kita tidak akan berubah. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (ar-Ra'd: 11)

Sabda nabi Muhammad SAW:

أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ
(Mafhumnya): "Ketahuilah sesungguhnya di dalam jasad terdapat segumpal daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad, dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad, ketahuilah ia adalah hati." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
[29]

Hati selama-lamanya tidak akan baik kecuali dengan tumbuh dan berkuasanya keimanan di dalamnya.
[30]


PENUTUP

Setelah hati seseorang telah disucikan daripada kekotoran dari segi iktikad, ibadah dan lain-lain, maka proses tarbiah yang berpandukan al-Quran dan sunnah perlulah diterapkan ke dadanya agar dia menjadi hamba ALLAH yang bertakwa, jujur, benar, adil, taat, memperjuangkan agama dan sebagainya. Para ulama telah menghimpun sejumlah besar ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang berkaitan dengan perkara-perkara iman dan amalan-amalan yang soleh untuk kaum muslimin mengambil manfaat daripadanya. Di antaranya ialah Imam an-Nawawi r.h di dalam kitabnya Riyard as-Solihin yang dapat dijadikan panduan untuk kita melakukan pentarbiahan mendidik umat ini mengikut akhlak-akhlak yang mulia perhiasan diri orang-orang yang soleh.
Ketahuilah ALLAH Azza wa Jalla telah berjanji akan mewariskan amanah mentadbir bumi ini kepada para hambaNya yang beramal soleh. Firman ALLAH Ta'ala: (Maksudnya) "Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh". (al-Anbiya': 105)

Wallahu'alam.

Nota hujung:
[1] Ali Imran: 102
[2] An-Nisa': 1
[3] Al-Ahzab: 70-71
[4] Lihat: al-Baqarah:25,82 Ali' Imran:57 an-Nisa':122,173 al-Maidah:9,93 al-A'raf:42 Yunus:4,9 Hud:23 Ibrahim:23, al-Kahf:30,107 al-Hajj:14,23,50,56 as-Syu'ara: al-'ankabut:9,58 ar-Rum:15,45 Luqman:8 Sajdah:19 Saba':4 Fathir:7 Syura;22,23,26 Muhammad:2,12 al-Fath:29 Insyiqaq:25 al-Buruj:11 at-Tin:6 al-Bayyinah:7 al-'Asr:3 dan banyak lagi ayat-ayat lain.
[5] Lihat al-Mu'jam al-Wasith, hal. 997.
[6] Muhadharah Manahij ad-Dakwah oleh Syeikh Abdul Majid Az-Zindani
[7] Lihat: al-Mu'jam al-'Arabiy al-Asasiy.
[8] Lihat: Kamus Dewan Edisi Ketiga, (Cet. Ketujuh 2002), hal.263-264
[9] Zaidan, Abdul Karim, Usul ad-Da'wah , (1425H-2005M), Muassasah ar-Risalah, Beirut-Lubnan, Cet. Kedua, hal.9
[10] Dakwah Islam tidak seharusnya berlegar sekitar satu kaum tertentu, bahkan ianya adalah wajib untuk disampaikan kepada kaum lain yang belum pernah mendengar seruan Islam.
[11] Sahih al-Bukhari, Kitab as-Solat (Hadis no.419).
[12] Az-Zindani, Abdul Majid, al-Iman, Universiti al-Iman, Rep.Yemen-Sana'a, hal.8-10.
[13] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman (Hadis no.25).
[14] Mukjizat yang dapat dilihat dan disaksikan di depan mata.
[15] Muhadharah Manahij Ad-Dakwah oleh Syeikh Abdul Majid Az-Zindani, Universiti al-Iman, Sana'a.
[16] Sahih Muslim, kitab al-Iman, (Hadis no.217).
[17] Salah seorang pembesar Quraisy yang kuat menentang Islam. Mati di bunuh di dalam Peperangan Badar.
[18] Lihat sebab turun ayat ke-11 dalam surah Al-Mudattsir.
[19] Lihat:Mabahits fi 'Ulum Al-Quran oleh Manna’ Al-Qattan, hal. 241-256 dan Al-Mu’jizah al-Qur’aniah oleh Dr. Muhammad Hassan Haito.
[20] Lihat: (بينات الرسول ومعجزاته), (علم الإمان), (علم الأجنة في ضوء القرآن الكريم).
[21] Lihat: (من آيات الإعجاز العلمي في القرآن الكريم), (السماء في القرآن الكريم), (الأرض في القرآن الكريم), (في القرآن الكريم الحيوان)
[22] Lihat: Quran and Modern Science – Compatible or Incompatible?
[23] Pengarang buku Developing Human 7th Edition yang menjadi rujukan dalam bidang embriologi di seluruh dunia.
[24] "Education can be thought of as the transmission of the values and accumulated knowledge of a society."
"education, history of." Encyclopædia Britannica from Encyclopædia Britannica 2007 Ultimate Reference Suite. (2007)
[25] Lihat Kamus Dewan Edisi Ketiga (Cet. Ketujuh 2002), hal. 1378
[26] Lihat al-Mu'jam al-'Arabiy al-Asasiy, hal. 502
[27] Lihat al-Tsaqafah al-Islamiyyah (1425H/2005M), Maktabah al-Irsyad-Sana'a, cet.ke-8, hal.17
[28] Ibid, hal.18
[29] Sahih Bukhari (Hadis no.50) dan Sahih Muslim (Hadis no.2996)
[30] Az-Zindani, al-Iman, hal.14-19.

Wednesday, March 07, 2007

Isu Palestin Adalah Masalah Utama Dunia Islam (Bhg.2)

-Dr.Mohamed Mahmoud El Sheikh Seyam
(Mantan Imam dan Khatib Masjid al-Aqsa, Palestin)
Terjemahan dan susunan oleh:
Imran al-Malizi (imran_almalizi@yahoo.com)


Hamba-hamba ALLAH Yang Gagah Perkasa

Siapakah yang dapat melaksanakan jihad membebaskan Baitul-Maqdis? ALLAH S.W.T telah berfirman: "..Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau; dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku." (Al-Israk: 5)

ALLAH Azza wa Jalla menyifatkan mereka ini sebagai "..hamba-hamba Kami yang kuat gagah" bukan orang-orang yang lemah dan condong mengikut telunjuk Musuh! Menjadikan musuh-musuh ALLAH sebagai teman setia dan pelindung! Bersifat khianat dan mengikut hawa nafsu serta menjauhkan diri daripada jihad!

Hanyalah golongan yang beramal soleh, mendirikan solat, sentiasa memenuhi masjid, membaca al-Quran, berpuasa, beribadat dengan penuh keikhlasan dan ketaatan yang benar-benar mampu melaksanakan kefarduan jihad! Mereka adalah Hamba-hamba ALLAH yang beramal soleh dan gagah perkasa, mereka adalah Mujahidin yang cintakan syahid! Mereka akan membebaskan Masjid al-Aqsa yang mulia, kiblat pertama bagi umat Islam dan tempat berlakunya Israk dan Mikraj Nabi S.A.W!

Larangan Memasuki Masjid al-Aqsa Bagi Golongan Muda

Wahai kaum Muslimin!
Kerajaan Israel begitu takutkan kebangkitan golongan muda di Palestin. Kerana itulah pada hari ini mereka melarang sesiapa yang di bawah umur 40 tahun untuk mengerjakan solat di dalam Masjid al-Aqsa terutamanya pada hari Jumaat. Akhirnya mereka ini terpaksa mendirikan solat Jumaat di jalanan sekitarnya.

Suatu ketika dahulu saya pernah berkhutbah di Masjid al-Aqsa pada solat Jumaat dengan para jemaah yang beratus-ratus ribu orang! Pada hari ini musuh-musuh tidak mahu golongan muda memenuhi masjid-masjid dan hanya membiarkan golongan tua dan tidak berdaya sahaja memasukinya..

Ini kerana sekiranya golongan muda beriltizam dengan Islam, maka itu adalah satu ancaman buat mereka! Orang-orang yang tidak berpegang kuat kepada agama tidak lain hanyalah golongan yang tunduk patuh dan layak untuk diperbodohkan oleh mereka.


Meruntuhkan Masjid al-Aqsa

Masjid al-Aqsa kini sedang diancam oleh kerja-kerja penggalian terowong di bawahnya. Mereka menyangka terdapat Haikal Sulaiman di situ akan tetapi sudah puluhan tahun tiada apa yang dapat ditemui.. sesungguhnya semua ini adalah pembohongan. Tujuan yang sebenarnya ialah untuk melemahkan struktur asas Masjid al-Aqsa yang terletak di tanah yang tinggi. Kini keadaan agak membimbangkan dengan kemungkinan Masjid al-Aqsa akan runtuh dari tempatnya.

Sudah tentulah rakyat Palestin yang tinggal di sekitar kawasan tersebut tidak berdiam diri. Akibat gangguan dan halangan daripada penduduk setempat maka kebiasaannya kerja-kerja penggalian ini dilakukan pada tengah malam. Seringkali berlaku para penduduk melemparkan batu-batu ke arah para pekerja tersebut apabila kedengaran bunyi mesin dan peralatan lain pada tengah malam.

Antara lain tujuan penggalian terowong tersebut adalah untuk memudahkan tentera dan anggota keselamatan Israel melaluinya ketika mengejar dan menangkap rakyat Palestin dan pejuang kanak-kanak yang melempar batu-batu dari atas permukaan Masjid al-Aqsa ke arah tembok tempat golongan Yahudi beribadat. Ini kerana tanpa terowong tersebut jalan yang ada untuk sampai ke dataran atas adalah jauh dan mengambil masa.


Suka dan Duka

Wahai kaum Muslimin!

Bagi saudara-saudara kamu di Palestin, terdapat beberapa perkara yang menyenangkan perasaan dan menggembirakan hati mereka dan juga terdapat beberapa perkara yang begitu menyakitkan dan menyempitkan dada mereka.

Di antara perkara-perkara yang menyenangkan hati mereka ialah bantuan serta sokongan daripada dunia Islam yang mana ini membangkitkan semangat mereka untuk terus melaksanakan perjuangan yang menuntut pengorbanan darah ini. Mereka juga bergembira apabila mendapat tahu bahawa terdapat saudara-saudara mereka di luar bumi Palestin yang terus memberikan sokongan dan mengikuti perkembangan mereka… seperti perhimpunan yang seumpama ini, di mana umat Islam mendengar kisah-kisah perjuangan mereka serta turut sama merasai penderitaan yang menimpa mereka dan sanggup berkorban harta benda yang termampu untuk dihulurkan kepada mereka. Mereka juga merasa bangga dengan meletakkan anak-anak bangsa mereka mempertahankan bumi al-Aqsa seperti pergerakan HAMAS, Jihad Islami… atau apa sahaja bentuk penentangan demi untuk mencapai kemenangan menewaskan golongan penjajah. Mereka akan terus berjuang sekali pun terpaksa mengorbankan nyawa dan darah, mereka bersumpah tidak akan menyerahkan tanah air mereka walaupun sejengkal. Umat Islam di Palestin juga merasa senang hati dengan sokongan dari negara jiran mereka seperti perjuangan Hizbullah di selatan Lubnan yang turut sama menentang musuh mereka iaitu Yahudi Zionis. Perjuangan dan penentangan ini memberikan kekuatan kepada saudara-saudara kamu di Palestin. Mereka juga merasa gembira dengan bantuan dan sokongan yang berterusan daripada kamu semua iaitu umat Islam dari luar bumi yang dijajah itu.

Manakala perkara-perkara yang begitu membimbangkan hati mereka ialah kemungkinan berlakunya pertembungan di antara dua golongan daripada kalangan anak bangsa mereka sendiri. Sebagaimana yang kamu ketahui, di Palestin terdapat dua kumpulan yang paling besar iaitu golongan Fatah dan golongan HAMAS.

Golongan Fatah inilah yang mahu meneruskan perdamaian dengan kerajaan penjajah (Israel), mengiktiraf kekuasaan dan pendudukan mereka di bumi Palestin. Mereka telah sekian lama tunduk kepada tekanan dan mengikut telunjuk musuh-musuh. Malah mereka juga turut sama memberikan tekanan terhadap para pejuang. Sepanjang tempoh memegang tampuk pemerintahan, telah berlaku penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan dana. Maka rakyat Palestin sudah tidak yakin lagi dengan kepimpinan mereka, lalu mereka telah memilih kerajaan yang baru iaitu dengan menyokong pergerakan HAMAS dalam pilihanraya yang lalu (2005) sebagaimana yang kamu semua telah ketahui.

Manakala golongan HAMAS pula ialah mereka yang mahu meneruskan perjuangan menentang kuasa penjajahan. Mereka tidak sekali-kali akan mengiktiraf negara Israel dan penguasaan tentera Zionis terhadap tanah air mereka. Mereka akan terus berjuang sehingga terbebasnya Masjid al-Aqsa dan bumi suci Palestin serta menghalau tentera-tentera penceroboh keluar dari tanah air mereka.

Rakyat Palestin juga merasa sungguh sedih dan dukacita terhadap negara-negara Arab yang berada di sekitar negara Palestin apabila mereka ini telah telah melakukan sekatan dan kepungan terhadap rakyat Palestin! Menyekat bantuan-bantuan kewangan daripada dipindahkan melalui bank-bank di negara mereka untuk disalurkan kepada rakyat Palestin… mereka melakukan tindakan tersebut sudah tentu mengikut kemahuan musuh-musuh Islam! Bukanlah tentera Amerika itu sendiri yang mengepung bumi Palestin dan melakukan sekatan terhadap kami… akan tetapi negara-negara Arab dan para pemimpin merekalah yang menekan kami!


Harga Yang Perlu Dibayar

Selepas mendapat kemenangan dalam pilihan raya yang lalu (Disember 2005), pergerakan HAMAS telah membentuk kerajaan dan seluruh dunia barat termasuk Amerika dan Eropah memberikan tekanan terhadap kerajaan dan rakyat Palestin. Sehingga para pegawai kerajaan sudah beberapa bulan tidak menerima gaji dan ramai rakyat yang menderita kelaparan. Kerana itulah Dr. Mahmoud Zahar, sebagai Menteri Luar Palestin dan wakil-wakilnya telah pergi ke beberapa buah negara termasuk Malaysia negara kamu ini (didatangi oleh Khaled Ismael al-Hayya, Ketua WHIP Parlimen Palestin) untuk mengumpulkan bantuan-bantuan derma dari seluruh dunia Islam demi membantu rakyat dan kerajaan Palestin yang ditekan dengan sebegitu hebat. Akhirnya bantuan kewangan sekitar USD 20 juta telah dapat dikumpulkan. Akan tetapi wang-wang tersebut tidak dapat ditransaksikan melalui bank-bank dari negara-negara Arab sebagaimana yang telah kamu ketahui. Untuk dibawa masuk melalui sempadan pula, terpaksa menghadapi risiko berhadapan dengan pasukan polis PLO yang sememangnya berpihak kepada Fatah. Maka Dr. Mahmoud Zahar telah menghubungi para pemuda HAMAS untuk memberikan bantuan. Seramai beberapa ribu anggota HAMAS yang lengkap bersenjata telah menuju ke sempadan Palestin di mana Dr. Mahmoud sedang menunggu, ini telah menggerunkan pihak polis dan menghalang mereka daripada melakukan tindakan di luar jangkaan. Mengikut perlembagaan, mana-mana menteri kerajaan tidak boleh dihalang untuk melepasi sempadan. Akhirnya, wang-wang tersebut telah diisikan ke dalam beg-beg dan dibawa masuk secara tunai melalui kenderaan sambil dikawal rapi oleh pasukan bersenjata HAMAS. Walaupun berisiko, ini sahajalah cara yang dapat dilakukan.

Bagi mengelakkan fitnah, bantuan kewangan tersebut telah disalurkan melalui badan-badan zakat kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan. Ini dilakukan supaya kerajaan HAMAS tidak dituduh melakukan penyelewengan sebagaimana kerajaan yang sebelum ini.

Kedua-dua kumpulan besar ini (Fatah dan HAMAS) memiliki kekuatan masing-masing dari segi bilangan anggota dan kelengkapan senjata. Maka pertembungan di antara kedua-duanya adalah merupakan satu ancaman dan perkara yang sangat bahaya!.. Kerana itulah kami akan berusaha siang dan malam (sedaya-upaya) untuk menyelesaikan pertelingkahan ini. InsyaALLAH!


Penentangan Yang Berterusan

Kaum Muslimin sekalian,
Secara hakikatnya, bangsa Yahudi itu tidak akan berundur dari bumi kami sehinggalah mereka menyembelih mati kesemua rakyat Palestin. Begitu juga rakyat Palestin tidak sekali-kali akan menyerah sehinggalah kami mendapatkan kemerdekaan dan hak-hak kami. Kami telah berjanji kepada ALLAH untuk terus berjuang sehinggalah DIA mendatangkan janji-NYA! Penentangan ini akan berterusan.. sama ada kami mati, bertambah dan berkurang…

Orang-orang yang hanya tahu mencemuh dengan mengatakan perjuangan rakyat Palestin dan kanak-kanak kecil yang membaling batu adalah sia-sia dan tidak akan membuahkan hasil.. tanyalah kepada diri kamu sendiri –senjata apakah yang telah kamu hulurkan kepada kami untuk mempertahankan diri kami daripada serangan musuh?!! Meskipun kami tidak mampu dari segi persenjataan yang lengkap akan tetapi senjata kami yang paling utuh ialah keyakinan dan keimanan kepada ALLAH Azza wa Jalla dan kecintaan untuk mati syahid!

Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kamu sekalian kaum muslimin di Malaysia kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan berkaitan isu Palestin dan saya mewakili saudara-saudara kamu di Palestin berterima kasih sekali lagi atas bantuan-bantuan yang dihulurkan. Saya ingin menyatakan bahawa bantuan ini tidak terhad untuk tempoh tertentu sahaja bahkan perlu dilakukan secara berterusan.. dan tidak terhad dalam bentuk kewangan atau material semata-mata, akan tetapi kamu membantu dengan berdoa kepada ALLAH supaya memberi kemenangan kepada umat Islam di Palestin. Ini adalah lebih bermakna apabila seorang hamba menadah kedua tangan dengan linangan airmata di hadapan TUHAN-nya mendoakan kesejahteraan dan kemenangan untuk saudaranya sesama Islam.

Sekian, was-salaamu 'alaikum wa rahmatullaahi wa barakaatuh.

Thursday, November 09, 2006

Isu Palestin Adalah Masalah Utama Dunia Islam



-Dr.Mohamed Mahmoud El Sheikh Siyam
(Mantan Imam dan Khatib Masjid al-Aqsa, Palestin)
Terjemahan dan susunan oleh: Imran al-Malizi*
(imran_almalizi@yahoo.com)


Pendahuluan

Beberapa bulan yang lalu, Mantan Imam dan Khatib Masjid al-Aqsa, yang juga Mantan Rektor Universiti Islam Gaza, Palestin dan Ahli Jawatankuasa al-Quds Foundation iaitu Dr.Mohamed Mahmoud El Sheikh Seyam telah mengunjungi negara ini sempena program Muslim Care Raising Fund For Palestine bermula pada 23 Ogos 2006 - 8 Sept 2006 dan kunjungan berikutnya pada 10 Okt 2006 – 12 Okt 2006.
Dalam sesi ini beliau telah menyampaikan ucapan di beberapa buah negeri di semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Melaka, Johor, Terengganu, Pahang dan Kedah. Di antara masjid dan surau yang menerima kunjungan bekas khatib Masjid al-Aqsa ini ialah Masjid Sultan Abdul Aziz Shah -Shah Alam, Masjid Asy-Syakirin -KLCC, Masjid Al-Rahman -Universiti Malaya, Masjid Wilayah –Kuala Lumpur, Masjid Lapangan Terbang Subang, Masjid Telekom –Taiping, Surau Menara Maybank, Surau Menara Petronas, Surau Bank Pembangunan, Menara Telekom Malaysia, Perodua, NAZA dan lain-lain.

Pihak yang telah bertanggungjawab membawa tetamu istimewa ini ke Malaysia ialah Muslim Care Malaysia Society iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dan telah memainkan peranan untuk memberikan bantuan kemanusiaan tanpa sempadan kepada umat Islam di beberapa buah negara seperti di Indonesia (Acheh), Pakistan, Iran (Baan) dan juga memberikan bantuan kebajikan kepada muslimin di Kemboja .

Pada kali ini pihak Muslim Care telah berusaha membawa Dr.Mohamed Mahmoud El Sheikh Seyam ke negara ini bertujuan mengumpulkan dana dan derma untuk disumbangkan kepada umat Islam yang memerlukan di Palestin. Di samping itu siri ceramah ini juga bertujuan untuk menyampaikan maklumat berkenaan isu Palestin yang mana ianya disampaikan oleh individu yang pernah terlibat secara langsung dalam perjuangan menuntut kembali hak umat Islam di bumi berdarah tersebut. Sememangnya beliau telah lama dilihat membangkitkan semangat jihad rakyat Palestin melalui khutbah-khutbahnya yang begitu berani mengutuk penjajahan Zionis Israel di bumi suci tersebut. Beliau telah dihalau keluar dari bumi Palestin semenjak tahun 1988 setelah dituduh oleh kerajaan Israel sebagai aktivis yang menulis keterangan-keterangan bagi pihak HAMAS. Sejak itu beliau telah tinggal di beberapa buah negara Arab termasuk Republik Sudan dan akhirnya menetap di Sana'a, Republik Yaman sehingga kini. Beliau telah banyak menyampaikan syarahan dan ucapan serta mengunjungi negara-negara Arab dan Asia untuk memperjuangkan isu Palestin termasuk di Iran, India, Pakistan, Sri Lanka, Malaysia, Indonesia dan lain-lain.

Teks ucapan ini ditulis dan disusun semula berdasarkan catitan dan helaian-helaian nota yang penulis kumpulkan sepanjang 19 hari bersama beliau sebagai penterjemah dan pengiring peribadi. Oleh kerana isi kandungan ucapan beliau tidak jauh berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang lain, penulis menyusun terjemahan teks ucapan ini dengan bahasa yang mudah dan ringkas. Juga disertakan isi-isi ucapan beliau yang tidak terdapat di sesetengah tempat agar ianya saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain. Berikut adalah himpunan ucapan beliau:


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala Puji bagi ALLAH TUHAN yang Mentadbir Sekalian Alam. Selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w. Imam bagi orang-orang yang bertaqwa, yang mana Baginda sendiri telah memimpin para mujahidin mengharungi pertempuran dan peperangan pada jalan ALLAH sehingga tertegaknya agama ini. Baginda s.a.w telah meninggalkan kepada kita panduan yang jelas, sesiapa yang mengikutinya pasti mendapat kejayaan dan sesiapa yang menyeleweng sesungguhnya dia akan binasa dan mendapat kecelakaan. Juga salam ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka sehinggalah Hari Kiamat.

Saya bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan ALLAH, Maha Esa DIA dan tiada sekutu bagi-NYA. Saya bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah hamba dan pesuruh-NYA.

Wahai kaum muslimin dan muslimat yang dihormati sekalian. Saya mendahulukan kata-kata dalam pertemuan ini dengan salam penghormatan sesama Islam;

Assalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh..


Kaum muslimin dan muslimat sekalian,

Saya sangat berbesar hati dan berkeinginan untuk datang menziarahi negara ini. Menziarahi kamu semua rakyat Malaysia sebagai umat Islam yang begitu prihatin dan berasa cinta untuk mempertahankan dan menyatakan sokongan terhadap nasib yang menimpa saudara-saudara kamu di Palestin. Kerana itulah semenjak penghujung tahun 80-an, saya telah datang ke negara ini secara berulang kali dengan menghadiri pelbagai persidangan, seminar, konferen, perhimpunan dan muktamar yang diadakan di masjid-masjid, dewan-dewan besar, universiti-universiti, tempat perhimpunan umum dan sebagainya di seluruh negara ini, untuk mewakili rakyat Palestin dalam menyatakan rasa terima kasih mereka kepada kamu sekalian dengan semangat persaudaraan Islam.

Suatu ketika dahulu juga saya pernah datang ke Malaysia ini beberapa kali untuk menyampaikan ucapan berkenaan isu Palestin dan mengumpulkan derma dan bantuan-bantuan lain untuk disampaikan kepada saudara-saudara kamu yang memerlukan di bumi Palestin. Namun pada ketika ini, saya mendapati bahawa rakyat Malaysia telah mengasaskan banyak pertubuhan-pertubuhan kebajikan dan secara sukarela membantu saudara-saudara Islam mereka yang ditimpa bencana di serata pelusuk dunia. Salah satu pertubuhan itu ialah Muslim Care yang telah memainkan peranan yang besar dalam membantu umat Islam di Indonesia khususnya di wilayah Acheh ketika di landa ombak tsunami suatu ketika dulu. Juga mereka telah membantu umat Islam di Pakistan ketika bencana gempa bumi, begitu juga bencana yang berlaku di Iran dan di negara-negara yang lain.

Pada kali ini, mereka telah menganjurkan kempen bagi mengumpulkan dana untuk membantu umat Islam di bumi Palestin. Sudah tentunya usaha ini tidak terhad untuk suatu tempoh tertentu bahkan ianya akan diteruskan dari masa ke semasa.


Isu Palestin Adalah Masalah Utama Dunia Islam

Wahai kaum Muslimin!

Umat Islam pada hari ini berdepan dengan masalah dan isu-isu yang terlalu banyak. Penindasan dan kezaliman terhadap mereka berlaku di mana-mana sahaja di atas muka bumi ini. Masalah-masalah umat Islam yang berlaku di Palestin, Iraq, Lubnan, Afghanistan, Chehnya, Kashmir, Filipina, Indonesia dan bahkan kezaliman yang berlaku di negara jiran kamu; selatan Thailand! Masalah yang begitu banyak dan kesemua ini berpunca daripada isu yang berlaku di Palestin. Sebagai contoh, Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iraq (2003) adalah demi untuk menjaga kepentingan Israel di rantau tersebut. AS mahu menjauhkan sebarang ancaman dan memelihara kedudukan sekutu-sekutu mereka di Asia Barat. AS juga membantu Israel menyerang selatan Lubnan adalah bertujuan untuk menghapuskan Hizbullah yang telah berjuang mempertahankan tanah air mereka serta menyokong perjuangan di Palestin. Begitulah juga masalah-masalah lain yang berlaku dalam dunia Islam – asas dan puncanya adalah 'isu Palestin'. Kerana dengan isu-isu yang lain itu juga umat Islam akan kehilangan tumpuan mereka terhadap masalah yang berlaku di Palestin. Sekiranya masalah di Palestin dapat diselesaikan, maka akan berakhirlah masalah-masalah umat Islam di negara-negara yang lain. InsyaALLAH!

Isu Palestin adalah isu akidah, yang mana umat Islam sama-sama memikul tanggungjawab untuk menyelesaikannya. Kerana ALLAH S.W.T telah memuliakan Masjid al-Aqsa melalui firman-NYA di dalam al-Quran (maksudnya): "Maha Suci ALLAH yang telah menjalankan hamba-NYA (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya ALLAH jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Israk, ayat 1)

Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda (mafhumnya): "Janganlah kamu bersusah payah untuk pergi (bermusafir) melainkan ke tiga buah Masjid : Masjid al-Haram, Masjid al-Aqsa dan Masjidku ini (Masjid al-Nabawi, di Madinah al-Munawwarah)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bumi Palestin dan Baitul-Maqdis telah diceroboh oleh tentera-tentera penjajah Zionis Israel! Masjid al-Aqsa telah dikotori dan dinajisi oleh golongan Yahudi yang melampui batas! Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama bagi umat Islam dan terletak di salah sebuah daripada tiga kota suci bagi kaum muslimin selepas Makkah dan Madinah. Sepatutnya seluruh umat Islam berasa cinta untuk mempertahankan kesuciannya dan merasakan kehilangannya. Akan tetapi mereka semua masih 'nyenyak' tidur! Bangsa Arab sering mengatakan bahawa 'kami telah kehilangan Masjid al-Aqsa..' Saya ingin menegaskan di sini bahawa: "Masjid al-Aqsa adalah hak milik umat Islam di seluruh pelusuk dunia! Ianya bukan sahaja milik bangsa Arab atau rakyat Palestin, bahkan ianya adalah milik kamu dan sepatutnya kamu semua bertanya kepada diri kamu sendiri apakah yang telah kamu lakukan untuk membebaskan Masjid al-Aqsa..? Sesungguhnya ALLAH akan menyoal kamu semua pada hari Akhirat kelak!"

Firman ALLAH S.W.T (maksudnya): "Maka apabila sampai masa janji yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau; dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku." (Surah al-Israk: 5)

ALLAH S.W.T telah menyatakan kepada kita dengan janji-NYA bahawa mereka yang mampu melakukan amanah tersebut adalah dari kalangan hamba-hamba-NYA yang gagah perkasa bukan mereka yang lemah dan mengikut telunjuk musuh-musuh serta mengikut hawa nafsu.


Jihad Adalah Penyelesaian

Wahai kaum Muslimin! Bagaimanakah dapat diselesaikan masalah umat Islam di Palestin?

Rakyat Palestin telah mencuba pelbagai cara dalam usaha untuk membebaskan bumi Palestin dan mendapatkan kembali hak-hak mereka yang telah dirampas di tanah suci tersebut. Di antaranya ialah dengan melalui perjanjian damai, persidangan, perundingan, dengan mengikut pelan damai yang dianjurkan oleh PBB dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kesemua cara ini telah menemui kegagalan. Bekas Presiden PLO, Yasser Arafat sebagaimana yang kamu ketahui telah mengikut jalan perdamaian ini sejak sekian lama sehinggakan beliau bersetuju untuk mengiktiraf negara haram Israel. AS dan kerajaan Israel telah menabur janji kepadanya untuk memberikan kekuasaan dan sebuah negara Palestin yang merdeka. Akan tetapi mereka telah mengkhianati dan menipunya sehinggalah ke peringkat meracuni dan membunuhnya! Oleh kerana semua cara ini tidak berhasil, maka rakyat Palestin telah memilih jalan yang lain untuk merungkai permasalahan yang menimpa mereka iaitu dengan kebangkitan, penentangan dan perjuangan jihad. Inilah jalan yang benar! Jihad adalah penyelesaian bagi masalah yang membelenggu umat Islam di Palestin!

Bagi memastikan jihad ini bertambah kuat dan berterusan sehingga ke kemuncaknya, perjuangan ini menyaksikan penglibatan daripada segenap lapisan masyarakat sama ada golongan tua dan muda, lelaki dan perempuan juga termasuk kanak-kanak. Keseluruhannya terjun ke medan jihad termasuklah kanak-kanak yang melempar batu-batu. Sememangnya dalam mengharungi perjuangan suci ini menuntut pengorbanan yang tinggi dan gugurnya para syuhada dari seluruh lapisan masyarakatnya. Dari kalangan orang-orang tua, kita telah menyaksikan contoh yang begitu bermakna dengan gugurnya Sheikh Ahmed Yassin r.h selaku pemimpin HAMAS yang dikasihi rakyat, semoga ALLAH merahmatinya dengan keagungan mati syahid. Dari kalangan orang-orang yang muda pula telah gugur syahid Dr.Abdel Aziz Rantisy r.h yang merupakan pembantu dan penggantinya. Juga telah gugur begitu ramai syuhada dari kalangan pemuda-pemudi, lelaki dan wanita, bahkan termasuk kanak-kanak yang mana telah pun kamu ketahui mengenainya.

Seperkara yang begitu mengagumkan ialah kaum ibu dan wanita turut sama bersemangat untuk melaksanakan jihad dan penentangan. Mereka tidak mahu membiarkan hanya anak-anak mereka sahaja yang mendapat syahid. Bukan sahaja golongan lelaki yang mampu untuk melakukan 'amaliyyah istisyhadiyyah (operasi pengeboman berani mati untuk mendapatkan syahid), malah golongan wanita juga tidak ketinggalan. Pernah sekumpulan wanita dan ibu-ibu yang datang berjumpa Sheikh Ahmed Yassin r.h merayu sambil menangis teresak-esak agar mereka juga diberikan peluang untuk melakukan 'amaliyyah istisyhadiyyah dan terkorban sebagai syuhada. Pada mulanya beliau tidak mengizinkan akan tetapi setelah melihat kesungguhan mereka, akhirnya sebahagian dari kalangan mereka diizinkan untuk berbuat demikian. Jikalau dilihat dari segi strategi, sememangnya golongan wanita lebih mudah untuk melakukan operasi pengeboman ini. Kerana tentera-tentera Israel tidak begitu mengesyaki golongan wanita untuk masuk ke kawasan awam atau tempat-tempat di mana terdapat tentera yang sedang berkawal. Maka dengan mudah mereka dapat menyelinap masuk ke tengah-tengah tentera musuh lalu meletupkan diri sekaligus membunuh ramai tentera Israel dan mencederakan beberapa yang lain.

Begitulah keberanian yang ditunjukkan oleh kaum wanita. Pernah juga terjadi suatu peristiwa di mana pada suatu pagi sekumpulan tentera Israel telah datang ke sebuah rumah. Pada ketika itu hanya yang berada di rumah tersebut ialah seorang ibu dan anak-anaknya. Salah seorang tentera tersebut bertanyakan tentang suami wanita itu lalu mengugut akan menangkap anak-anaknya sekiranya ibu tadi enggan bekerjasama. Beliau mengatakan bahawa suaminya tiada di rumah. Salah seorang tentera telah mengambil cerek kecil yang sedang mendidih airnya di dalam rumah tersebut lalu mencurahkan ke atas kepala seorang anak wanita itu yang masih kecil lalu membiarkannya menangis. Kemudian mereka menangkap 3 daripada 6 orang anak-anaknya sambil mengatakan bahawa sekiranya beliau masih enggan memberitahu di manakah suami beliau berada, mereka akan datang lagi pada keesokan hari. Dengan beraninya ibu tadi menjawab: "Aku memiliki 6 orang anak. Sekiranya kamu mengambil 3 orang anak-anakku, masih ada yang lain yang masih kecil. Mereka inilah nanti yang akan membunuh kamu sekalian!"


Pendidikan Jihad Sempena Ramadan

Bukan sahaja di medan perjuangan kita menyaksikan penglibatan golongan wanita, malah kaum wanita juga memainkan peranan yang cukup besar dalam mendidik anak-anak bangsa mereka ketika mana para suami dan golongan lelaki pergi menunaikan tanggungjawab dan melaksanakan perjuangan menentang musuh-musuh.

Sempena bulan Ramadan al-Mubarak, kaum ibu di Palestin telah mendidik anak-anak mereka dalam segenap segi. Di antaranya ialah ketika mereka menyediakan hidangan berbuka puasa, di mana seluruh ahli keluarga akan berkumpul mengelilingi hidangan. Kaum ibu akan membiarkan tempat duduk yang kosong untuk anak-anak mereka yang telah gugur syahid, juga yang sedang merengkok di dalam penjara Israel dan yang sedang berjuang menentang musuh-musuh serta berada di bukit-bukau dan lembah menunaikan kefarduan jihad. Ini dilakukan supaya anak-anak tidak melupakan saudara-saudara mereka yang telah mati syahid, dipenjarakan dan yang sedang berjuang di luar sana. Agar mereka menaruh dendam terhadap musuh-musuh yang telah membunuh ahli keluarga mereka dan menanamkan rasa cinta untuk berjihad dan mengikut jejak langkah saudara-saudara mereka yang lain. Mereka inilah yang akan meneruskan perjuangan jihad dan penentangan sehinggalah ALLAH S.W.T mendatangkan janji-NYA dengan memberikan kemenangan kepada kaum muslimin.. insyaALLAH!


Asas-asas Yang Menjadi Pegangan Untuk Meneruskan Jihad

Wahai kaum muslimin sekalian.
Dalam melaksanakan jihad ini, rakyat Palestin telah berpegang kepada 3 asas yang utama.

Pertama: Perintah ALLAH untuk melaksanakan Jihad.

ALLAH S.W.T telah memerintahkan kaum Muslimin untuk berjihad mempertahankan diri mereka terhadap kezaliman. Firman ALLAH S.W.T (maksudnya): "Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi; dan sesungguhnya ALLAH Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan)." (Surah al-Hajj, ayat 39)

Firman ALLAH lagi (maksudnya): "Sesungguhnya ALLAH telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan ALLAH maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh ALLAH di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada ALLAH? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar." (Surah al-Taubah: 111)

Firman-NYA lagi (maksudnya): "Perangilah mereka, nescaya ALLAH akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan ALLAH akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Ia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman." (Surah al-Taubah: 14)
Rakyat Palestin berpegang kepada perintah ALLAH ini untuk meneruskan perjuangan mereka membebaskan Masjid al-Aqsa dan tanah air mereka. Di mana umat Islam tidak boleh berpaling diri daripada perintah ALLAH untuk berjuang mempertahankan bumi Islam daripada penjajahan apatah lagi yang membiarkan Masjid al-Aqsa diceroboh dan dikotori oleh musuh-musuh. Oleh itu hukum jihad adalah fardu ain terutamanya bagi umat Islam di Palestin, kerana mereka tinggal di bumi suci tersebut dan mereka rela mengorbankan darah dan nyawa mereka demi mempertahankannya. Rakyat Palestin akan terus berjuang dengan segala kekuatan mereka sehinggalah terbebasnya Masjid al-Aqsa al-Mubarak dan sehingga mereka menghalau musuh-musuh dan penjajah Yahudi keluar dari tanah air mereka. InsyaALLAH.


Kedua: Pergantungan kepada diri mereka.

Setelah berpegang kepada perintah ALLAH tersebut dan meletakkan pergantungan diri kepada-NYA, rakyat Palestin juga bergantung kepada diri mereka sendiri untuk meneruskan perjuangan. Ini kerana sekiranya mereka tidak berbuat demikian, maka siapakah lagi yang dapat melaksanakan kewajipan tersebut? Kerana itulah pendidikan jihad diterapkan ke dalam sanubari anak-anak mereka supaya penentangan terhadap musuh-musuh akan berterusan dari satu generasi ke generasi yang lain.

Ketiga: Pergantungan kepada sokongan umat Islam dari luar.

Umat Islam di Palestin juga meletakkan harapan dan pergantungan kepada sokongan serta bantuan daripada saudara-saudara mereka dari luar. Mereka tidak lagi mengharapkan sokongan daripada kerajaan negara-negara Arab, para pemimpin dan raja-raja mereka yang selama ini telah jelas mengkhianati mereka dan cenderung kepada barat serta bersekongkol dengan AS dan Zionis Israel. Mereka menghalang bantuan dan derma-derma daripada di salurkan kepada mereka yang sedang menderita di bumi Palestin. Mereka ini dibantu oleh AS untuk mengekalkan kekuasaan dan hanya mahu menjaga kedudukan kerusi masing-masing. Kerana itu rakyat Palestin tidak lagi mengharapkan sokongan mereka.

Namun itu tidak bermakna rakyat di negara-negara mereka juga bersikap demikian, yang saya maksudkan ialah para pemimpin dan raja mereka. Sedangkan gelombang kebangkitan rakyat begitu jelas menyokong kami di Palestin. Contohnya rakyat dan bangsa Arab di Syria dan Jordan yang menyatakan sokongan padu mendukung perjuangan saudara-saudara mereka di Palestin. Bahkan rakyat Palestin begitu terharu apabila mendapati saudara-saudara mereka di Malaysia, Indonesia, India, Pakistan, Sri Lanka dan negara-negara lain di Asia turut sama merasai penderitaan mereka dan menghulurkan bantuan sekadar kemampuan yang terdaya.


Kecelakaan Buat Mereka Yang Kaya-raya

Wahai kaum muslimin,

Sahabat saya iaitu Dr.Mohsen M.Saleh (Associate Professor of Palestinian Studies and Modern Arab History, Az-Zaytoon Research Centre, Beirut) telah mengatakan bahawa sekiranya negara-negara Arab memberikan sebahagian daripada harta zakat mereka, tentulah jumlahnya cukup besar untuk membantu keperluan saudara-saudara mereka di Palestin. Walau bagaimanapun, saya ada pendapat yang berbeza. Saya ingin menegaskan di sini bahawa kami rakyat Palestin tidak memerlukan wang dan harta-benda kamu untuk kami meneruskan perjuangan jihad ini!

Wahai para pemimpin kerajaan, raja-raja dan para hartawan Arab yang kaya-raya! Simpan sahajalah wang kamu semua! Pergilah kamu bersama-sama harta-benda kamu itu menuju ke neraka Jahanam!!!

Ketahuilah! Mereka itu bukan sahaja tidak mahu membantu umat Islam dan rakyat Palestin! Bahkan kerajaan-kerajaan Arab ini tunduk kepada kemahuan Amerika dan Yahudi Zionis melakukan kezaliman dengan menghalang bantuan-bantuan kewangan, makanan dan ubat-ubatan yang datang dari luar untuk dibawa masuk ke bumi Palestin! Mereka telah mengkhianati kami! Kami akan mendakwa mereka ini di hadapan Allah pada hari akhirat kelak!

-bersambung


*Penulis adalah sukarelawan Muslim Care Society Malaysia, masih menuntut serta merupakan pengiring peribadi dan penterjemah kepada Dr.Mohamed Mahmoud El Sheikh Seyam dalam program Muslim Care Raising Fund For Palestine.